muqaddimah
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)
Adam... Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.
Wahai Adamku...
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah
jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu tatkala aku
sentiasa mahu terpesong dari landasan... kerana aku buruan syaitan.
Adam... Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai
bilangannnya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian
Allah dalam urusan-Nya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya
merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana kerana Adam
sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa
Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu
maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam
beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.
Adam...
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana
sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tetapi... aku risau, gundah
gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku
mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun... terasa berat pula
untukku menyatakan isi perkara.
Adam...
Aku tahu bahawa
dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai
terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi
tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar
sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.
Tapi Adam, nyata
dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini. Kami dibiarkan
terumbang-ambing tanpa haluan, malahan engkau juga mengambil kesempatan
atas kelemahanku. Dimana perginya keadilanmu?
Asalnya Allah
menghendaki aku tinggal tetap di rumah. Aku akur asalkan aku keluar dari
rumah, seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung
rambut... tetapi realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.
Adam..
Mengapa kau biarkan aku begini?
Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu?
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?
Adakah akhlak kaum Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?
Adam...
Kau sebenarnya Imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketuaku.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku? Akalku satu, nafsuku sembilan.
Oleh itu Adam...pimpinlah, bimbinglah aku kerana aku sering lupa,
lalai dan alpa sehingga aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan
kuncu-kuncunya.
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah.
Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi
hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah
kekasih Allah.
Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa
dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat,
masih gentar mencegar munkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini
akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam,
malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang Agung.
Maafkan aku sekali lagi Adam...
Andainya warkah yang ku layangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.
Jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.
Waspadalah Adam...
Andai auratku terdedah...andai suaraku mengatasimu... andai langkah
seiringmu...andai maruahku dirobek maka engkaulah yang bakal membawaku
kepada kebenaran.
Usah dipersalahkan Hawa lantaran tewas mengemudi bahtera andai si Adam masih lena diulit mimpi...
Tetapi percayalah!!! Bukan emas yang kucari...bukan berlian yang kupinta... tetapi...hanyalah hati yang tulus ikhlas darimu...
Adam...
Dengarlah...keluhan hatiku buat dirimu...
by zuedean asclane
No comments:
Post a Comment