muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Thursday, February 23, 2012

-nothing to display-

Dalam melewati kitaran kehidupan yang dijalani, terkadang kita terlepas pandang akan haq yang perlu kita tunaikan. Allahurabbi... ampuni hamba ini yang sering leka dan alpa.. bukan niat untuk mengabaikan tanggungjawab, tapi kekuranganku......
sedar atau tidak, usia semakin meninggat dewasa. apakah kita semakin bahagia?? atau terus sengsara? ketahuilah wahai hati, bahagia itu akan wujud bila Ilahi sentiasa menjadi tempat kita meminta dan kembali. kesengsaraan pula bukan kerna tidak sayangNya Dia pada kita, tanpa kerna kasih sayangNya itu, kita diuji. hebatNya Allah, Dia menyintai kita dengan ujianNya.. maka redhailah akan tiap titipan tarbiahNya..dan tenangkan hati untuk membina kekuatan dalam depani cabaran.
ujian yang paling lemah dan sulit dalam usia remaja ini adalah hati, cinta dna kasih sayang. kerna di tahap ini lah kemuncaknya keinginan kita untuk saling berkasih sayang. tapi apakah matlamat menghalalkan cara??
Allah memberikan akal untuk kita mengimbangi tiap yang kita lakukan. kerna itu, gunakanlah ia sebaiknya. benar! kadang, kehendak hati sukar ditewas, namun, ingatlah, kita hidup harus punya prinsip dan berpegang pd syariat. jangan menjadi seseorang yang tidak punya prinsip mahupun langgar dari syariat. untuk mendapatkan yang terbaik itu, harus menggunakan jalan yang terbaik.
hati, itu suatu yang sulit untuk dibincangkan. mengapa?? kerna hanya ALLAH yang mampu mengawalnya..
sesungguhnya bukan suatu yang amat disukai untuk diri ini membincangkan hal ini, tapi keadaan yang dihadapi, membuatkan diri ini ingin berkongsi. semoga pihak yang berkenaan memahami apa itu ertinya MENYINTAI DAN KASIH SAYANG.
 ingin berkongsi sedikit kata2..

"aku lebih suka engkau menyimpan hasrat hati itu demi untuk menjaga kesuciannya dari engkau nodainya dengan janji manis dan kepalsuan dalam bicaramu"



REMAJA BERAKAL FOKUS BELAJAR


Merebut Hati
            Meniti usia remaja, terlalu banyak tarikan-tarikan di sekiling yang mahu memenangi fokus hati. Cinta, hiburan, gejala sosial, rakan sebaya, kerja sambilan, menghabiskan masa dan banyak lagi pesaing-pesaing yang cuba merebut sekeping hati remaja. Amanah belajar yang terpikul di bahu remaja sering ditewaskan oleh pesaing-pesaing itu.
            Remaja berakal perlu sentiasa peka terhadap persiapan akal, rohani dan jasmaninya. Belajar adalah proses mempersiapkan akal. Ia suatu proses seumur hidup. Ia sepatutnya menjadi prioriti seseorang untuk mengisi alam remajanya dengan belajar, belajar dan terus belajar. Penting sangatkah belajar untuk mempersiapkan akal? Sudah tentu! Kesedaran ini akan memudahkan hati memenangkan apa yang lebih penting dan utama dalam persaingan tarikan-tarikan tadi merebut fokus hati.
            Para cerdik pandai berkata, “Barangsiapa yang akalnya bukan merupakan sesuatu yang dominan, maka dia akan mati dan binasa kerana sesuatu  yang paling dicintainya.”
Allah Sebagai Akal
            Berkata Aisyah r.ha, “Beruntunglah orang yang menjadikan Allah sebagai akalnya.” Remaja berakal akan sentiasa memikirkan apa yang Allah inginkan sebelum melakukan sesuatu. Nilaian Allah menjadi kayu ukur dan pemutus. Tiada nilaian lain yang lebih penting daripada nilaian-Nya.
Baginya, yang baik itu ialah apa yang Allah katakan baik, dan yang buruk itu ialah apa yang Allah katakan buruk. Akal dan pemikirannya bebas berfikir serta dipandu oleh petunjuk wahyu. Tidak sebagaimana remaja di Barat, mereka berfikir sebebas-bebasnya namun sayang tanpa panduan dan tanpa petunjuk. Maka natijahnya, akal dimanfaatkan untuk memajukan perkara maksiat. 
Umar al-Khattab berkata, “Orang berakal itu bukan setakat mampu membezakan yang baik dari yang buruk, tetapi mampu mengetahui mana yang lebih baik daripada dua keburukan.”
 Al-Hasan pula berkata, “Agama seseorang tidak menjadi sempurna kecuali dengan kesempurnaan akalnya. Allah tidak memberikan akal kepada seseorang melainkan suatu hari Dia akan menyelamatannya dengan akal itu.”
Akal Melelahkan Syaitan
            Wahab bin Munabbih berkata, “Syaitan merasa paling kesulitan jika menghadapi orang mukmin yang berakal. Dia boleh menarik hidung seratus orang bodoh, mengarahkan mereka malah menunggang di atas bahu mereka, lalu membawa mereka ke manapun yang dia kehendaki. Namun, dia benar-benar merasa kesulitan berhadapan dengan orang mukmin yang berakal dan memujuknya, sekalipun untuk mendapatkan sedikit apa yang dihajatkan daripadanya.”
            Remaja berakal sentiasa menyebabkan syaitan dalam kelelahan dan kesulitan. Syaitan yang kelelahan kadang kala merelakan remaja melakukan kebaikan begitu sahaja tanpa digoda. Lantaran kelelahan itu, si syaitan terpaksa beralih arah menggoda orang-orang bodoh.
            Berkata Wahab bin Munabbih lagi, “Meruntuhkan gunung sebongkah demi sebongkah batunya, lebih mudah bagi syaitan daripada memujuk orang mukmin yang berakal. Jika dia benar-benar tidak mampu menghadapinya, maka dia beralih kepada orang-orang bodoh lalu menawannya. Syaitan boleh memimpinnya hingga menjerumuskannya  kepada pelbagai macam kehinaan yang dirasakan di dunia, seperti mendapat hukuman rejam, dipotong tangannya, disalib dan kehinaan-kehinaan yang lain.”
            Remaja berakal sudah tentu tidak mahu terperangkap dalam kehinaan ditangkap khalwat, dibicarakan kerana masalah sosial, ditahan kerana merempit, didakwa kerana membuang bayi luar nikah, dihantar ke sekolah juavana, dilatih di pusat-pusat pemulihan akhlak dan sebagainya. Kehinaan ini hanya layak bagi orang-orang bodoh yang sering memenangkan nafsunya. Mereka sering memilih jalan maksiat dengan alasan, “Saya tak kuat,” tanpa berusaha menggunakan akal untuk menguatkan diri dengan ilmu dan mujahadah.
            Orang yang tidak menggunakan akal bukan sahaja mendapat kehinaan di dunia tetapi turut mendapat kehinaan di akhirat. Amat malang kerana kehinaan di akhirat itu lebih menyakitkan dan boleh bersifat kekal selama-lamanya. Wahab bin Munabbih meneruskan katanya,
            “Sementara di akhirat dia akan mendapat neraka dan aib yang sangat menghinakan. Boleh jadi dua orang sama dalam kebaikannya, namun ada perbezaan yang memisahkan kedua-duannya seperti pemisahan antara timur dan barat kerana akalnya. Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik daripada dengan akal.”
Remaja Berakal Tidak Mahu Hipokrit
Seringkali akal ditipu,
            “Saya tidak mahu buat begini (merujuk apa-apa perbuatan baik) kerana saya tidak mahu menjadi hipokrit,” kata remaja.
            Kata-kata seumpama ini mencerminkan bahawa remaja itu sedang melabelkan dirinya yang sebenar adalah seseorang yang buruk, berdosa dan sentiasa di takuk lama.
Sedarkah kita, kita dilahirkan dalam keadaan fitrah sebagaimana yang dimaklumkan oleh hadis sahih riwayat Bukhari, no. 1296. Fitrah di sini bermaksud Islam. Islam itu bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Ya, kita dilahirkan dalam keadaan kita adalah seorang hamba yang perlu taat dan patuh kepada-Nya dengan penyerahan diri yang total.
Maka, kita sedang menjadi diri sendiri ketika kita sedang melakukan kebaikan. Kita sedang hipokit dengan Allah ketika kita sedang melakukan kejahatan. Inilah hakikatnya diri kita yang sebenar, fitrah, suci dan bersih. Remaja yang berakal akan segera menukar paradigma agar tidak tertipu lagi.
Yusuf bin Asbath berkata, “Akal adalah pelita yang tidak nampak, hiasan yang terzahir, pengatur badan dan pemantau urusan hamba. Kehidupan tidak akan membaik tanpa akal dan urusan tidak akan berjalan normal kecuali berdasarkan akal.”
Remaja Berakal Segera Bertaubat
Remaja berakal tidak bertangguh untuk bertaubat jika dia melakukan kesalahan.  Dia tidak bertangguh untuk melakukan kebaikan. Tidak bertangguh untuk melakukan perubahan yang lebih positif. Kenapa? Kerana dia sedar dia dilahirkan untuk menjadi yang terbaik.
            Muaz bin Jabal berkata, “Andaikata orang yang berakal itu mempunyai dosa pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pasir, maka akhirnya dia cenderung masih boleh selamat daripada dosa-dosa itu. Andaikata orang yang bodoh itu mempunyai kebaikan dan kebajikan pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pepasir, maka akhirnya dia cenderung tidak mampu mempertahankannya meskipun hanya seberat biji sawi.”
            Ada yang bertanya, “Bagaimana ia boleh terjadi?”
            Muaz menjawab, “Sesungguhnya jika orang yang berakal itu tergelincir, maka dia segera menyedarinya dengan cara bertaubat dan menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya. Tetapi orang bodoh itu ibarat orang yang membangun dan langsung merobohkannya. Kerana kebodohannya, dia terlalu mudah melakukan apa yang boleh merosakkan amal solehnya.”
Fokuslah Belajar Agar Kau Jadi Remaja Berakal.
            Remaja berakal tidak akan mempersiakan masa mudanya. Digunakan masa mudanya sebaik-baiknya untuk menimba ilmu. Mempersiapkan ketajaman akalnya. Dalam masa yang sama tidak lupa menyeimbangkan diri dengan persiapan fizikal dan rohani. Inilah remaja terbaik di antara yang terbaik. Ayuh, fokuslah belajar!


ISTIKHARAH

Bagaimana si dia menawarkan cinta kepada anda?
Persoalan Lazim Remaja
            “Bagaimana kita hendak tahu si dia terbaik untuk kita ataupun tidak?”
“Selepas istikharah memang ia akan nampak dalam mimpi?”
“Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia nampak saya dalam mimpi selepas buat istikharah. Jadi, perlukah saya terima dia sedangkan saya tidak yakin pun kepadanya?”
“Saya takutlah hendak membuat istikharah. Takut nampak apa yang saya tidak berkenan.”
Apa Itu Istikharah?
            Istikharah ialah suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara berdoa sahaja ataupun sebaik-baiknya solat sunnah terlebih dahulu kemudian diikuti dengan doa. Ia dilakukan bukan dalam urusan memilih jodoh semata-mata, bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan.
Contohnya, mahu membeli kereta VIVA ataupun Myvi? Mahu balik kampung ataupun mengikuti program keusahawanan semasa cuti semester? Mahu mengikuti jurusan Undang-undang Sivil ataupun Undang-undang Syariah?
Bagaimana membuat pilihan?
Buatlah pilihan dengan istikharah dan berbincang.
Berdoa kepada Khaliq dan berbincang dengan makhluk.
Ikut garis panduan al-Quran dan al-Sunnah.
Namun, tiada istikharah dalam menolak perintah Allah ataupun melakukan larangan-Nya. Contohnya, mahu memakai tudung ataupun tidak? Mahu memakai jeans ataupun baju kurung? Mahu pergi dating ataupun study?
Istikharah Menghapus Unsur-unsur Ramalan
            Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, mantera dan meramal masa depan. Pelbagai kreativiti direka-reka bagi menilik nasib seperti meramal dengan bintang, meramal dengan sial burung dan mengundi dengan undian belahan-belahan kayu. Mereka meramal bagi mengetahui bilakah waktu yang sesuai memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam peperangan dan sebagainya.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90).
Sebagai pengganti kepada unsur-unsur ramalan seperti itu, Allah SWT mensyariatkan istikharah yang mengandungi benih tauhid dan kebahagiaan di dalamnya. Tidak akan menyesal orang yang memilih istikharah sebelum memutuskan urusannya.
Doa Istikharah
 
            Maksudnya: 
Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (pernikahanku dengannya) adalah baik bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (pernikahanku dengannya) mendatangkan keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya.”
Galakan Istikharah
            Galakan istikharah sangat tinggi dalam Islam, hingga ada ulama yang menganggapnya wajib. Namun, ulama salafussoleh (generasi awal yang dekat dengan zaman Nabi) bersepakat yang istikharah itu sunnah bukan wajib.
Kata Jabir bin Abdullah, “Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah daripada al-Quran, sabdanya, 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunnah dua rakaat, kemudian bacalah doa ini….'” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
            Imam al-Syawkani berkata dalam Naylul Awtar bahawa istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya.
            Rasulullah SAW berkata: “Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Petunjuk Istikharah Melalui Mimpi?
            Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Selepas beristikharah dan berbincang, kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi mengapa perlu takut untuk istikharah?
Sekiranya seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan hatinya selepas istikharah, ia hanyalah bonus daripada Allah untuknya. Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi.
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri bagi memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah untuk kita.
Hatta sekiranya kita sendiri yang bermimpikan seseorang selepas istikharah, kita perlu memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati, dan membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan. Imam Ibnu Hajar al-Asqolani menekankan supaya jangan cenderung kepada satu antara dua atau lebih pilihannya sebelum membuat istikharah. (Fath al-Bari, 11/223). Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah .
Apakah pandangan Islam berkenaan mimpi (ru’yah)?
Realiti tiga golongan.
1.      Ada orang yang bergantung sepenuhnya kepada mimpi. Ia terdedah kepada sangkaan, mainan syaitan dan mainan perasaan.
2.      Ada golongan yang menolak sepenuhnya mimpi. Ia menafikan sesuatu yang wujud, thabit (tetap) serta tidak patut diingkari secara umumnya.
3.      Ada golongan yang menganggap mimpi sebagai bonus sokongan daripada Allah  dengan apa yang sudah diyakini berdasarkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat ini lebih adil dan sederhana.
Merujuk Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna yang dihuraikan oleh Muhammad Abdullah al-Khatib dan diadaptasi oleh penulis, ada beberapa penjelasan berkenaan kedudukan mimpi dalam Islam. Antaranya adalah:
·Mimpi insan biasa bukanlah hujah bagi hukum syarak. (Misalnya seseorang yang bermimpi, hubungannya dengan Allah sudah mantap maka dia hanya perlu solat dengan menggunakan niat, maka mimpinya dikira batil dan tidak menjatuhkan hukum syarak apapun ke atasnya).
·Mimpi seseorang tidak diambil kira sekiranya bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. (Misalnya wanita mengandung  bermimpi makan khinzir hingga menyebabkan dia sangat mengidamkannya. Mimpi itu tidak boleh dijadikan hujah untuknya melanggar hukum agama yang telah tetap.)
·Mimpi seseorang yang tidak bertentangan dengan nas, boleh diambil kira untuk dirinya sendiri, bukan hujah untuk orang lain. (Misalnya, seseorang bermimpi berkahwin dengan seseorang, manakala agama dan akhlak orang itu memang bagus, maka dia boleh berusaha ke arah menjadikan mimpinya suatu realiti. Namun, dia tidak boleh memaksa orang itu menerimanya semata-mata berhujahkan mimpinya sendiri.)
·Mimpi banyak berbaur dengan sangkaan, bercampur-aduk dengan waham (prasangka), justeru kita tidak bergantung sepenuhnya kepadanya. Sekadar berwaspada. (Misalnya kita bermimpi berkahwin dengan seseorang, sedangkan kita belum mengetahui berkenaan agama dan akhlaknya, maka tidak perlu terburu-buru percaya kepada mimpi itu. Mimpi itu mungkin boleh menjadi sekadar ilham untuk kita merisik agama dan ahklaknya dengan teliti).
·Faedah kewujudan mimpi adalah sokongan tambahan pada perkara yang sudah tetap (thabit) daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia dianggap sokongan tambahan kepada perkara yang telah thabit dan dianggap sebagai cahaya di atas cahaya.
·Mimpi bukan semuanya daripada syaitan dan mainan perasaan semasa tidur. Ada juga mimpi yang benar daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW, “Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Riwayat Muslim). Ibnu Taimiyah berkata di dalam al-Fatawa, hendaklah seseorang tahu membezakannya. (Misalnya seseorang yang leka dalam maksiat, tidak mahu bertaubat, tiba-tiba ingin beristikharah dalam urusan jodoh, sudah tentu besar kemungkinan mimpi malamnya akan sering dipengaruhi oleh wajah gadis yang didambakan. Sebaik-baiknya, dia bertaubat dan menjauhkan diri daripada dekat dengan jalan-jalan zina terlebih dahulu seperti asyik call, sms dan dating).
·Sekalipun ulama tidak mengingkari wujudnya mimpi yang benar, namun mereka mensyaratkan, perlunya nilaian daripada al-Quran dan al-Sunnah terhadap setiap apa yang dimimpikan. Hanya kedua sumber itu yang maksum (terpelihara daripada kesilapan).
·Berkata Ibnu Taimiyah, “Ahli kasyaf dan ahli ilham ada kalanya benar dan ada kalanya silap. Justeru mereka perlu berpegang teguh dengan tali Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Al-Fatawa).
Wujudkan Sokongan Mimpi dalam Urusan Jodoh?
            Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita supaya beristikharah (berdoa pada Allah) dan bermusyawarah (berbincang dengan makhluk) dalam membuat sesuatu pilihan.
Kita tidak perlu meragui lagi yang Rasulullah SAW menjadikan istikharah itu trend dalam hidup baginda apabila mahu membuat sesuatu pilihan. Buktinya, kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan, seperti baginda mengajar kami satu surah dari al-Quran, sabdanya:
Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan melakukan sesuatu perlulah dia melakukan solat sunnah dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Setelah kewafatan Khadijah, Allah SWT menghadirkan mimpi seorang gadis yang dibawa oleh malaikat Jibril di dalam kelubung sutera. Apabila diselak, gadis itu adalah Aisyah. Jibril berkata, “Ini adalah isterimu di dunia dan di akhirat.” Tiga kali mimpi itu menemani malam baginda.
Baginda cuma berkata kepada diri dengan mimpi itu, “Kalau ini kehendak Allah, pasti akan terlaksana.” (Muttafaqun a’laih).
Selepas mengalami mimpi itu, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan Khaulah binti Hakim bin al-Auqash, isteri Usman bin Mazh’un yang mencadangkan calon isteri untuk baginda. Didapati calon yang dimaksudkan iaitu Saudah dan Aisyah. Berdasarkan nilaian akhlak dan agama memang patut dijadikan isteri. Natijahnya, Rasulullah SAW meminta beliau menyampaikan pinangan baginda kepada calon yang dimaksudkan itu.
Kesimpulannya:
·Buatlah pilihan dengan istikharah dan musyawarah.
·Petunjuk tidak semestinya hadir melalui mimpi. Namun sekiranya kita bermimpi yang baik, ia boleh menjadi bonus sokongan daripada Allah kerana mimpi itu wujud, thabit dan tidak patut diingkari secara umumnya.
·Petunjuk dapat hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama.
·Selepas beristikharah dan berbincang ,kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.