Bagaimana si dia menawarkan cinta kepada anda?
Persoalan
Lazim Remaja
“Bagaimana kita hendak tahu si dia terbaik untuk
kita ataupun tidak?”
“Selepas istikharah memang ia akan nampak dalam mimpi?”
“Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia nampak saya dalam
mimpi selepas buat istikharah. Jadi, perlukah saya terima dia sedangkan
saya tidak yakin pun kepadanya?”
“Saya takutlah hendak membuat istikharah. Takut nampak apa yang
saya tidak berkenan.”
Apa
Itu Istikharah?
Istikharah
ialah suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara
berdoa sahaja ataupun sebaik-baiknya solat sunnah terlebih dahulu kemudian
diikuti dengan doa. Ia dilakukan bukan dalam urusan memilih jodoh semata-mata,
bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan.
Contohnya, mahu membeli kereta VIVA ataupun Myvi? Mahu balik kampung
ataupun mengikuti program keusahawanan semasa cuti semester? Mahu mengikuti
jurusan Undang-undang Sivil ataupun Undang-undang Syariah?
Bagaimana membuat pilihan?
Buatlah
pilihan dengan istikharah dan berbincang.
Berdoa
kepada Khaliq dan berbincang dengan makhluk.
Ikut
garis panduan al-Quran dan al-Sunnah.
Namun, tiada istikharah dalam menolak perintah Allah ataupun
melakukan larangan-Nya. Contohnya, mahu memakai tudung ataupun tidak? Mahu
memakai jeans ataupun baju kurung? Mahu pergi dating ataupun study?
Istikharah
Menghapus Unsur-unsur Ramalan
Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat
Arab jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, mantera dan
meramal masa depan. Pelbagai kreativiti direka-reka bagi menilik nasib seperti
meramal dengan bintang, meramal dengan sial burung dan mengundi dengan undian belahan-belahan
kayu. Mereka meramal bagi mengetahui bilakah waktu yang sesuai memulakan
perniagaan atau meramal kalah menang dalam peperangan dan sebagainya.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, bahawa
sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah
semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90).
Sebagai pengganti kepada unsur-unsur ramalan seperti itu, Allah SWT
mensyariatkan istikharah yang mengandungi benih tauhid dan kebahagiaan
di dalamnya. Tidak akan menyesal orang yang memilih istikharah sebelum
memutuskan urusannya.
Doa
Istikharah
Maksudnya:
“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan
ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku
memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau
Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan
aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang
ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini
(pernikahanku dengannya) adalah baik bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan
kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, takdirkanlah ia bagiku dan
permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui
bahawa urusan ini (pernikahanku dengannya) mendatangkan keburukan bagiku, pada
agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, maka
jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang
keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya.”
Galakan
Istikharah
Galakan istikharah sangat tinggi dalam Islam,
hingga ada ulama yang menganggapnya wajib. Namun, ulama salafussoleh (generasi
awal yang dekat dengan zaman Nabi) bersepakat yang istikharah itu sunnah
bukan wajib.
Kata Jabir bin Abdullah, “Rasulullah SAW
mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami
satu surah daripada al-Quran, sabdanya, 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu
hendaklah dia melakukan solat sunnah dua rakaat, kemudian bacalah doa ini….'”
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Imam al-Syawkani berkata dalam Naylul Awtar bahawa
istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat
khilaf padanya.
Rasulullah SAW berkata: “Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah
kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada
keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan
membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
Petunjuk
Istikharah Melalui Mimpi?
Petunjuk istikharah tidak semestinya
dalam bentuk mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian
pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Selepas beristikharah
dan berbincang, kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke
arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi mengapa perlu takut untuk istikharah?
Sekiranya seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan hatinya selepas
istikharah, ia hanyalah bonus daripada Allah untuknya. Petunjuk tidak
semestinya melalui mimpi.
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri
bagi memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi
hujah untuk kita.
Hatta sekiranya kita sendiri yang bermimpikan seseorang selepas istikharah,
kita perlu memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh
kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati, dan membiasakan diri dengan
banyak perkara yang melalaikan. Imam Ibnu Hajar al-Asqolani menekankan supaya
jangan cenderung kepada satu antara dua atau lebih pilihannya sebelum membuat istikharah.
(Fath al-Bari, 11/223). Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi
tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk
al-Quran dan al-Sunnah .
Apakah pandangan Islam
berkenaan mimpi (ru’yah)?
Realiti tiga golongan.
1. Ada orang yang bergantung sepenuhnya
kepada mimpi. Ia terdedah kepada sangkaan, mainan syaitan dan mainan perasaan.
2. Ada golongan yang menolak sepenuhnya
mimpi. Ia menafikan sesuatu yang wujud, thabit (tetap) serta tidak patut
diingkari secara umumnya.
3. Ada golongan yang menganggap mimpi
sebagai bonus sokongan daripada Allah dengan apa yang sudah diyakini
berdasarkan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat ini lebih adil dan
sederhana.
Merujuk
Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna yang dihuraikan oleh Muhammad
Abdullah al-Khatib dan diadaptasi oleh penulis, ada beberapa penjelasan
berkenaan kedudukan mimpi dalam Islam. Antaranya adalah:
·Mimpi insan biasa bukanlah hujah bagi hukum syarak. (Misalnya
seseorang yang bermimpi, hubungannya dengan Allah sudah mantap maka dia hanya
perlu solat dengan menggunakan niat, maka mimpinya dikira batil dan tidak
menjatuhkan hukum syarak apapun ke atasnya).
·Mimpi seseorang tidak diambil kira sekiranya bertentangan dengan
hukum-hakam agama dan nas-nasnya. (Misalnya wanita mengandung
bermimpi makan khinzir hingga menyebabkan dia sangat mengidamkannya. Mimpi itu
tidak boleh dijadikan hujah untuknya melanggar hukum agama yang telah tetap.)
·Mimpi seseorang yang tidak bertentangan dengan nas, boleh diambil
kira untuk dirinya sendiri, bukan hujah untuk orang lain. (Misalnya,
seseorang bermimpi berkahwin dengan seseorang, manakala agama dan akhlak orang
itu memang bagus, maka dia boleh berusaha ke arah menjadikan mimpinya suatu
realiti. Namun, dia tidak boleh memaksa orang itu menerimanya semata-mata
berhujahkan mimpinya sendiri.)
·Mimpi banyak berbaur dengan sangkaan, bercampur-aduk dengan waham
(prasangka), justeru kita tidak bergantung sepenuhnya kepadanya. Sekadar
berwaspada. (Misalnya kita bermimpi berkahwin dengan seseorang, sedangkan
kita belum mengetahui berkenaan agama dan akhlaknya, maka tidak perlu
terburu-buru percaya kepada mimpi itu. Mimpi itu mungkin boleh menjadi sekadar
ilham untuk kita merisik agama dan ahklaknya dengan teliti).
·Faedah kewujudan mimpi adalah sokongan tambahan pada perkara yang
sudah tetap (thabit) daripada al-Quran dan al-Sunnah. Ia dianggap
sokongan tambahan kepada perkara yang telah thabit dan dianggap sebagai cahaya
di atas cahaya.
·Mimpi bukan semuanya daripada syaitan dan mainan perasaan semasa
tidur. Ada juga mimpi yang benar daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW,
“Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah, mimpi yang berpunca
dari dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Riwayat Muslim). Ibnu
Taimiyah berkata di dalam al-Fatawa, hendaklah seseorang tahu
membezakannya. (Misalnya seseorang yang leka dalam maksiat, tidak mahu
bertaubat, tiba-tiba ingin beristikharah dalam urusan jodoh, sudah tentu
besar kemungkinan mimpi malamnya akan sering dipengaruhi oleh wajah gadis yang
didambakan. Sebaik-baiknya, dia bertaubat dan menjauhkan diri daripada dekat
dengan jalan-jalan zina terlebih dahulu seperti asyik call, sms dan dating).
·Sekalipun ulama tidak mengingkari wujudnya mimpi yang benar, namun
mereka mensyaratkan, perlunya nilaian daripada al-Quran dan al-Sunnah terhadap
setiap apa yang dimimpikan. Hanya kedua sumber itu yang maksum (terpelihara
daripada kesilapan).
·Berkata Ibnu Taimiyah, “Ahli kasyaf dan ahli ilham ada kalanya benar
dan ada kalanya silap. Justeru mereka perlu berpegang teguh dengan tali Allah
dan sunnah Rasulullah SAW.” (Al-Fatawa).
Wujudkan Sokongan Mimpi dalam
Urusan Jodoh?
Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita supaya
beristikharah (berdoa pada Allah) dan bermusyawarah (berbincang
dengan makhluk) dalam membuat sesuatu pilihan.
Kita tidak perlu meragui lagi yang Rasulullah SAW menjadikan istikharah
itu trend dalam hidup baginda apabila mahu membuat sesuatu pilihan.
Buktinya, kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah
SAW mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan, seperti baginda mengajar
kami satu surah dari al-Quran, sabdanya:
“Apabila seseorang kamu mempunyai
rancangan melakukan sesuatu perlulah dia melakukan solat sunnah dua rakaat,
kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).
Setelah kewafatan Khadijah, Allah SWT menghadirkan mimpi seorang gadis
yang dibawa oleh malaikat Jibril di dalam kelubung sutera. Apabila diselak, gadis
itu adalah Aisyah. Jibril berkata, “Ini adalah isterimu di dunia dan di
akhirat.” Tiga kali mimpi itu menemani malam baginda.
Baginda cuma berkata kepada diri dengan mimpi itu, “Kalau ini kehendak
Allah, pasti akan terlaksana.” (Muttafaqun a’laih).
Selepas
mengalami mimpi itu, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan Khaulah binti
Hakim bin al-Auqash, isteri Usman bin Mazh’un yang mencadangkan calon isteri
untuk baginda. Didapati calon yang dimaksudkan iaitu Saudah dan Aisyah.
Berdasarkan nilaian akhlak dan agama memang patut dijadikan isteri. Natijahnya,
Rasulullah SAW meminta beliau menyampaikan pinangan baginda kepada calon yang
dimaksudkan itu.
Kesimpulannya:
·Buatlah pilihan dengan istikharah dan musyawarah.
·Petunjuk tidak semestinya hadir melalui mimpi. Namun sekiranya kita
bermimpi yang baik, ia boleh menjadi bonus sokongan daripada Allah kerana mimpi
itu wujud, thabit dan tidak patut diingkari secara umumnya.
·Petunjuk dapat hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat
Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama.
·Selepas beristikharah dan berbincang
,kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu
petunjuk.
No comments:
Post a Comment