muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Thursday, March 1, 2012

TERASING.......


Kadangkala, kita merasa sedih kerana bersendiri.Hidup terasa bagai sunyi sepi. Seolah-olah segala makhluk menyisihkan kita ke tepi. Apabila kita  mendepani saat itu, usahlah terlalu cenderung untuk bersedih. Kita harus bangkit. Kita harus jadi manusia yang kuat untuk menghadapi hidup.

Janganlah bersedih seandainya bersendirian. Sesungguhnya kita tidak dijadikan untuk hidup bersendiri. Biarpun berjuta-juta manusia membenci dan menyisihkan kita dari kehidupan mereka, anda masih ada Allah.

Belum pun sempat kita merasa sedih, Allah SWT sudah tahu segala isi hati yang terpendam. Jikalau benar hidup kita tersisih kerana membawa kebenaran, itu adalah lebih bererti dari seisi dunia.

Kebenaran itu adalah hakikat perjuangan sejati. Perjuangan sejati padanya terkandung risalah Allah SWT dan RasulNya. Seandainya kita disisihkan saat membawa kebenaran itu, percayalah kita sudah tergolong di dalam golongan mereka yang berjuang menegakkan kalimah Allah SWT di muka bumi ini.
Koreklah segala isi sejarah silam, para pembawa kebenaran setiap hari dalam kehidupan mereka diwarnai dengan ujian dan dugaan. Soal tersisih, Rasulullah SAW lebih hebat ujiannya. Baginda SAW pernah disisihkan oleh Kafir Quraisy dengan sewenang-wenangnya. Tetapi adakah saat itu Rasulullah SAW menjadi semakin lemah semangat? Luntur jiwanya?
Tidak.
Seandainya benar jalan yang anda ikuti – yakni bersumber Al-Quran, As-Sunnah, Qias dan Ijma’ – maka teruskanlah.

Saya bawakan satu contoh mudah.
Seorang individu yang lahir dalam sebuah keluarga tidak mengamalkan ajaran Islam sempurna. Solat entah ke mana, puasa Ramadhan terabai, dan ibadah lain juga jarang sekali dilakukannya.
Dalam menghadapi situasi ini, apakah cara terbaik untuk dia menghadapi kehidupan sehari-harinya? Apakah dia harus berdiam diri dan terus bersedih menyalahkan nasib dan takdir? Atau, dia terus menerus menyalahkan Allah SWT?

Cara terbaik adalah, dia tidak boleh sama sekali berdiam diri memeluk tubuh. Dia harus menghayun kaki mengorak melangkah ke hadapan. Jika dia bergelumang dengan situasi itu, tentu saja tambah merumitkan keadaan. Terlalu mengikut arus keadaan, boleh menghanyutkan dia ke muara tanpa sempat bergantung pada mana-mana tambatan.

“persekitaran mungkin mempengaruhi kita, tapi pegangan yang ada pada diri pasti menyelamatkan kita”

Dia harus keluar dari kepompong kejahilan seandainya mahu berubah ke arah kebaikan. Untuk menjadi orang berguna, dia wajib mengenal asal-usul agama. Wajib tahu siapa Tuhan semesta alam. Untuk mengerti bagaimana mahu menghambakan diri kepada Azza Wajalla. Kerana sumber kekuatan dan kebahagiaan hanya milik Allah semata-mata.
Dia juga harus menyamai keperibadian Islam yang asli jika mahu menjadi kuat dan tabah. Aqliyah dan nafsiyah nya hendaklah bersumberkan dari asas yang sama iaitu aqidah Islam sejati.
Diantara kisah sahabat yang dapat dijadikan sebagai contoh keunikan keperibadian Islam tersebut adalah kisah Anas bin An-Nadhar, salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Ketika itu Anas sedang mengikuti perang Uhud, apabila beliau melihat Umar bin al-Khattab, Thalhah bin Ubaidillah bersama dengan tokoh-tokoh Muhajirin dan Ansar yang lain sedang duduk dan meletakkan senjata mereka. Setelah mendengar berita terbunuhnya Baginda SAW, Anas lalu bertanya kepada mereka:
“Mengapa kamu hanya duduk-duduk sahaja?”
“Rasulullah SAW telah terbunuh.” Jawab mereka.
“Apa yang akan kamu lakukan dalam hidup ini setelah Baginda SAW wafat? Bangkitlah kamu, dan matilah seperti cara wafatnya Baginda Rasulullah SAW.” Tanya beliau lagi. (Sebenarnya Rasulullah SAW belum wafat ketika itu, cuma khabar angin mengatakan sedemikian)

Setelah itu beliau menghadapi orang Quraisy sehingga terbunuh sebagai syuhada’.
Akhlaq Anas bin An-Nadhar ini menunjukkan keteguhan antara aqliyah dan nafsiyah beliau. Anas menyedari akan kesedihan dan kekalahan dari riak wajah para sahabat saat itu, setelah tersebarnya berita Rasulullah SAW telah terbunuh. Lantas beliau mengaitkan antara realiti tersebut dengan maklumat yang telah diajarkan oleh Baginda SAW kepada beliau. Beliau tidak berputus asa, dan bersedih hati. Kerana pahitnya kekalahan, haramnya lari daripada medan perang, serta kesan daripada berita terbunuhnya baginda Rasulullah SAW kepada semangat para sahabat.

Justeru, bagi individu menghadapi masalah dengan persekitaran tidak islamik itu hendaklah bertindak segera dengan memasakkan cara fikir bahawa dia tidak boleh bersedih sekiranya tersisih kerana dengan kesedihan itu boleh membantutkan usahanya mengecapi kebahagiaan kelak.
Seterusnya barulah dia mampu membawa keluarganya mengamalkan ajaran Islam sesempurna mungkin. Jika dia masih sama dengan mereka, tentu saja dia akan terus tersisih. Bahkan mungkin selama-lamanya menjadi manusia terasing. Walhal Islam itu letak duduknya adalah paling tinggi.
Sampai bila pun Islam akan terhina jika kita merasa sedih semata-mata tanpa berbuat apa-apa. Paling utama, anda harus selalu ingat bahawa setiap gerak-kerja yang dilakukan kerana Allah SWT pasti akan diganjari ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT.



No comments: