Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.
1. Pernah seorang Arab Badwi
menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya,
yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi
Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.
2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan
meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu
dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak
balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW
menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu
terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.
3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak
kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya
Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium
anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak
mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”
4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang
Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke
mana perginya si polan si polan itu…”
5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak
pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat
mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang
siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya.”
6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam
Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak
beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan
dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai,
Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah
memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.
7. Ketika Rasulullah
SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda
telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal
yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya,
lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat
sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan
bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan
berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya.” Malaikat
menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk
Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.”
8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha
dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati
Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi
duduk bersamanya.
9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan
kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang
ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah
SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali
itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa.
Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak
akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.
10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah
SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan
pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa yang akan
menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?”
Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”
Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”
Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”
Akhirnya Rasulullah
SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk
Islam).
11. Rasulullah SAW sangat penyayang dengan anak-anaknya dan
bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan isteri-isterinya,
baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu kerja-kerja rumah
dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.
12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering
menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan
dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama
mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.
13. Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang
kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya,
“Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya
telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya
terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk
berhari raya.” Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib
kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi
ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak
terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah
SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak
tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan
baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu,
begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.
14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar,
Rasulullah SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di
tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab
bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang.
Rasulullah SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda
sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak
yang sama masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya
Rasulullah SAW. “Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan
dipukul oleh tuan saya kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar,”
jawab budak itu.
Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri
menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita.
Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam,
barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya,
“Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu
menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami
mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”
Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda
meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak
puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan.
Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata
Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, ” Tidak, ya
Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan
kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
16. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat
menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang
menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan
lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.
17. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir
zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun
orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”
18. Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang
kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah
SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang
tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering
mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan
yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor
kucing tidur atas serban Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting
bahagian tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu
mengejutkan kucing tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke
Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi
jalan. Anjing itu mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang
sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang
Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan anggota rombongan
baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika Rasulullah
melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di
mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan
dipukul di mukanya.
19. Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada beliau, “Wahai Rasulullah,
berdoalah untuk kebinasaan mereka.” Rasulullah berkata, “Ya ALLAH,
berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang
benar).”
20. Satu ketika Abu Zar keluar bersama hamba sahayanya yang
berpakaian seperti apa yang beliau pakai, lalu ada orang bertanya,
“Mengapa kamu berbuat demikian?” Abu Zar menjawab, beliau mendengar
Rasulullah berkata: “Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di
jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di
bawah kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan
dengan apa yang dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is
pakai, dan janganlah hamba itu disuruh melakukan pekerjaan di luar
batas kemampuannya. Apabila mereka diperintahkan bekerja maka bantulah
mereka.”
INILAH sebahagian daripada cerita-cerita sebagai bukti betapa
pengasih dan pemaafnya Rasulullah SAW, model agung kecintaan yang
paling unggul dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang zaman.
Cerita-cerita itu menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW
sama ada kepada manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam.
cnp #kisahtauladan
"I am a traveler seeking the truth, a human searching for the meaning of humanity and a citizen seeking dignity, freedom, stability and welfare under the shade of Islam. I am a free women who is aware of the purpose of his existence and who proclaims: “Truly, my prayer and my sacrifice, my living and my dying are all for Allah, the Lord of the worlds; no partner has He. This, am I commanded and I am of those who submit to His Will.” This is who I am.
muqaddimah
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)
No comments:
Post a Comment