muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Saturday, February 28, 2015

Rabiatul Adawiyah - lahirnya seorang wali Allah (Part 1)



Bismillahirahmanirrahim...

Sesungguhnya dunia itu diciptakan sebagai tempat seorang hamba bercucuk tanam dan hasilnya diraikan di akhirat kelak. Setiap perbuatan, keputusan dan segala yang kita buat menjadi penentu destinasi kita di akhirat kelak. Justeru, hamba ingin muslimat di luar sana lebih cakna akan kehidupan di yang abadi. Usah rungsing memikirkan siapa bakal imam yang menjadi pendamping diri. Kerna Allah tidak menjanjikan jodoh di dunia, tetapi menjadikan setiap makhlukNya berpasang-pasangan. Mungkin dunia atau akhirat, kita akan dipertemukan dengan jodoh kita. Namun, harus diingatkan, sejak Dia menganugerahkan kehidupan di dunia, ketahuilah duhai mujahidah, tika tu kita telah diikatkan dengan kematian. Seharusnya fokus kita lebih kepada persiapan menghadap Ilahi, bukan impian menjadi pendamping lelaki. Justeru, mari kita bangkit dan contohi wali Allah ini. Tauladani sirahnya. Moga pencerahan ini dapat membakar semangat kita untuk terus menuju cintaNya. Aamiin Allahumma Aamiin.
  


Kita hanya tahu Allah itu Maha Melihat. Tapi kita tak mempercayainya dengan sebenar-benar kepercayaan. Kerna itu kita bebas dari dibelenggu perasaan takut dan risau akan pandangan Allah pada kita. Itulah mutiara yang kita perlu cari dan gali. ADAB DENGAN ILAHI. Bukan sekadar di atas hamparan sejadah, bahkan di mana kita berada, kita perlu menjaga adab dengan Ilahi. Percakapan, tingkah laku dan segalanya kita perlu menjaga. Bukan kerna takut akan dosa semata, tapi kerna sifat malu seorang hamba yang telah banyak menggunakan nikmat Ilahi, namun masih tidak mensyukuri nikmatNya bahkan mengkufuri nikmatNya. Itu yang perlu kita tanam ke dalam hati dan sanubari kita. Jangan hanya fikir malu kepada manusia, tapi malulah pada Tuhan yang menciptakan kita. Segala yang kita miliki, bahkan nafas yang kita perolehi ini hanya lah dari belas ehsanNya. Pencerahan tentang hidup seorang sufi banyak lagi yang belum kita rungkaikan.
  
 
Sesungguhnya kemewahan tidak mampu menjadi kebanggaan buat Ilahi, kerna kemewahan itu sendiri milikiNya. Namun, ketaqwaan seorang hamba pada Sang Rabb itulah menjadi kebanggaan untuk Ilahi. Itulah kemewahan jiwa dan rohani seorang hamba. Bukan terlihat dari paras rupa, mahupun kekayaan dunia, tidak pula dari darjat keturunan, tapi hati. Di mana dan bagaimana seorang hamba itu memelihara anugerah Ilahi. Pekerti seseorang akan terukir di benak hati. Corak atau warna bagaimana yang hendak di ukir pada segumpal darah yang bernama hati. Itulah ujian seorang hamba fakir dalam menggunakan dan mengimbangi iman dan nafsunya. Apa iman itu menjadi tunjang kesetiaan hamba atau nafsu yang menjadi penghancur kesetiaan.
Begitulah kehidupan seorang mujahidah yang bakal kita tauladani sirahnya. Kelahirannya bukan dari keturunan bangsawan, bahkan dari sebuah keluarga yang tidak punya kemewahan. Ketaqwaan menjadi benteng keteguhan iman seorang hamba buat Sang Ilahi. Insan suci ini dilahirkan di sebuah kota Basrah. Berada di dalam rahim seorang wanita yang setia pada zaujnya, Ismail al-Adawiy. Hasil pernikahan Ismail dan isterinya, kini mereka sudah memiliki tiga orang puteri. Sungguh, keperibadian ibu bapa itu mencorak keperibadian anak-anak. Ketiga-tiga puteri Ismail merupakan anak yang mudah di didik walau tidak punya kemewahan yang menggunung tinggi.
Setelah sembilan bulan wali Allah ini berada di dalam rahim bondanya, kini Allah telah membawanya ke sebuah alam yang mencabar. Keteguhan iman dan cinta seorang hamba buat Sang Pencinta Abadi diuji bertubi-tubi. Kelahiran seorang bayi yang mampu mengangkat darjatnya di sisi Allah bukanlah suatu kelahiran yang disambut dengan meriah dan persiapan yang rapi seperti kehadiran bayi lain. Di atas kedhoifan keluarga Ismail, wali Allah ini hanya dilahirkan di pondok usang. Ismail, bapanya menjadi bidan yang tidak diiktiraf. Tapi dengan keteguhan dan keyakinan seorang hamba atas bantuan Allah, kesemua puteri mereka disambut oleh Ismail sebagai bidan. Walau tidak punya kelengkapan dan kondusif suasana yang baik, namun kesemua puteri mereka lahir dengan sihat dan baik.
Tidak seperti bayi lain, Wali Allah ini lahir tanpa memiliki baju mahupun pakaian yang baru, bahkan sekujur tubuh kecil yang masih merah itu hanya di baluti dengan kain kotor yang telah usang. Menitis mutiara jernih dari mata seorang ibu tatkala melihat kedhoifan dan tarbiah Allah buat keluarganya. Namun tidak setitik pun hati mereka ternoda dengan kesusahan yang Allah hamparkan buat keluarga mereka. Dengan kuasa Allah, disebalik kefakiran dan kenaifan harta, terselit kekayaan dan kemewahan kasih sayang, iman serta ketaqwaan di dalam keluarga ini. Ismail bertuah kerna memiliki seorang isteri yang setia dengan zaujnya yang miskin dan puteri-puteri yang memahami akan fitrah duniawi.
Dalam kehidupan yang penuh dengan kekurangan, Ismail tidak pernah mengabaikan hak puteri kecil itu dengan memberikan nama. Setelah disoal oleh isterinya, Allah telah mengilhamkan Ismail untuk menamakan anakknya dengan Rabiah. Rabiah yang mambawa maksud hanya yang keempat. Namun, ketoaatan dan kesetiaan isterinya melebihi dari segalanya. Isterinya akur dengan keputusan yang dibuat oleh suami tercinta. Begitu juga buat puteri-puterinya yang lain. Walau mereka risau akan diri adik mereka yang bakal dipanggil dengan nama ganjil itu, namun mereka yakin nama itu adalah ilham dari Allah buat ayah mereka. Keyakinan kepada ta’dir Allah itu membuatkan keluarga mereka lebih akrab dan saling bersangka baik.
Kelahiran wali Allah yang mulia di sambut dengan penuh kesyukuran. Hadirnya dinanti. Kemunculannya mengubah nasib keluarga syurgawi. Ismail begitu yakin puteri bongsunya ini akan menjadi hamba yang solehah dan toat kepada perintah Tuhan. Bahkan keyakinan itu semakin menebal tatkala Ismail bermimpi bertemu dengan Muhamad S.A.W.. Kisahnya bermula apabila Ismail mendapatkan kerehatan seusai dirinya bertadarus dipertengahan malam. Tika malam itu, Ismail bermimpi bertemu dengan seorang yang indah wajahnya bak rembulan purnama. Pakaian yang sangat bersih sehingga dengan melihat insan itu, hatinya menjadi sejuk dan tenteram sekali. Insan mulia itu telah mengkhabarkan dua perkara kepadanya. Perkara pertama, Rasulullah mengkhabarkan sesungguhnya kehadiran Rabiah itu merupakan rahmat besar dari Allah. Suatu hari kelak, Rabiah akan menjadi wanita terhormat dan memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah. Bahkan seramai 70 ribu umat Muhamad S.A.W. memerlukan syafaat Rabiah di akhirat nanti.


......................................BERSAMBUNG...........................................

No comments: