muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Tuesday, March 1, 2011

PEMBENTUKAN KELUARGA MUSLIM


MUQADDIMAH

Ummah kini dinodai tanpa belas simpati. Setiap sendinya dilumpuhkan dengan kekejaman yang tidak terperi, sedang ummah ini merupakan ummah terbaik yang dirancang oleh Allah swt. untuk membina ketuanan Al Ma'ruf dan memusnah kemaharajalelaan Al Mungkar.

Firman Allah yg bermaksud : " Kamu adalah sebaik - baik ummah yang dilahirkan untuk manusia agar kamu menegakkan yang Ma'ruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah swt ." (Al Imran: 10)

Barat dan orientasi Zionisme melalui protokol jahat mereka menjadikan sistem keluarga (Usrah) Ummat Islam sebagai sasaran mereka untuk menghancurkan Islam dan gerakannya.

PROSES PELUPUSAN USRAH MUSLIMAH

1. Menganjurkan pergaulan bebas dan merangsang nafsu ke arah Free Sex. Sementara api hedonisme terus menerus disirami minyak agar Ummat Islam alpa selanjutnya meninggalkan prinsip - prinsip Islami . Kesan sampingan yang paling minima, bakal diterima oleh Ummat Islam ialah mengenepikan aspek ugama dalam memilih pasangan hidup mereka, sedang ini adalah suatu bahaya besar yang akan menghancurkan institusi rumahtangga muslim ( Usrah Muslimah ).

2. Konsep rumahtangga barat yang berorientasi maddiyah kononnya sebagai asas kebahagiaan diberi publisiti yang luas. Harta dan kemewahan menjadi target perlumbaan hidup mereka sehingga ianya memberi persaingan hebat kepada kasih sayang dan keharmonian rumahtangga.

3. Pendidikan sekular (penjarakkan ugama dari kehidupan) di 'highlight' kepada masyarakat Umat Islam bermula dari peringkat Tadika (Hadhanah) hinggalah ke tangga Universiti. Fenomena ini mencambahkan benih Jahiliyyah Sekular dari dalam rumahtangga Ummat Islam itu sendiri.

4. Kebebasan bersuara tanpa batas dan kawalan sistem dosa dan pahala anjuran barat ditiup kepada masyarakat Ummat Islam yang akhirnya di atas nama tamadun dan hak asasi manusia, seorang isteri boleh menuntut hak sekalipun di luar kemampuan suami dan suami boleh didakwa kiranya menyetubuhi isteri tanpa kerelaan. Begitu jua seorang anak, bebas bertindak tanpa perlu kepada kawalan ibu bapa.

5. Pembinaan Syakhsiyyah dan Ummah Islamiyyah dianggap hak peribadi dan di luar tanggungjawab Usrah Muslimah, sehingga amal Islami menjadi satu ruang yang sempit setelah mereka mendirikan rumahtangga.

Demikian antara kerja jahat musuh yang tidak berhati perut untuk melumpuhkan ummat Islam. Persoalannya sekarang, apakah kita hanya berpeluk tubuh dan menyepi diri menyaksi segala aksi mereka di hadapan mata kepala kita ?! Hanya mereka yang tidak memiliki sensitiviti dan basirah sanggup membisu dan menggulung lidah menyaksi segalanya.

STRUKTUR PEMBINAAN USRAH MUSLIMAH

Pembinaan Usrah Muslimah bermula dari penyediaan konkrit dan tapak yang kukuh. Percubaan membina Usrah Muslimah di Tanah Lumpur atau di Tebing Runtuh hanya satu percubaan yang sia-sia malah membahayakan diri. Islam telah melakarkan " Pelan Tapak Kukuh " untuk tujuan pembinaan tersebut .

TAPAK USRAH MUSLIMAH

"Dari Jabir bahwa Nabi saw. Telah bersabda: Sesungguhnya perempuan itu dikahwini berdasarkan ugamanya, hartanya dan kecantikkannya, maka selayaknya engkau memilih ugama yang pasti membahagiakan mu."

Hal ini turut ditegaskan oleh Al Imam Ghazali Rhm. Dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin :"Proses pengislahan ehwal kehidupan (berumahtangga) tidak dapat tidak dengan mengambil perhatian serius terhadap perempuan yang ingin dikahwininya supaya kekal cinta kasih, iaitu perempuan yang ada padanya lapan perkara:

1. Beragama (Keperibadian dan spiritual)

2. Berakhlak mulia (Solehah)

3. Murah Mas Kahwinnya

4. Tidak mandul

5. Anak dara

6. Berbangsa (keturunan yang baik)

7. Cantik

8. Tidak daripada kaum kerabat yang dekat

Statement ini tidak bermakna hanya pihak lelaki yang mesti memilih calon isteri yang solehah sebaliknya kaedah yang sama perlu dipraktikkan oleh pihak perempuan untuk memilih calon suami yang soleh. Justeru perempuan turut diberi tanggungjawab yang sama oleh Allah swt. untuk menegakkan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud; "Lelaki dan Perempuan yang beriman sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain ke arah menegakkan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran, mereka mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta mentaati Allah dan Rasul, mereka ini akan dirahmati Allah sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Bijaksana." (At Taubah: 71)

Sabda Rasulullah saw: "Apabila seorang lelaki yang engkau redhoi ugama dan akhlaknya masuk meminang, maka terimalah (Kahwinilah!) jika tidak akan berlaku fitnah dan kerosakkan yang besar di muka bumi " (Riwayat Tarmizi)

HAIKAL USRAH MUSLIMAH

Tapak yang kukuh tanpa seni bina yang berkualiti jua tidak memberi sebarang erti. Usrah Muslimah sayugianya memiliki haikal yang lengkap dan sempurna menepati 'Pelan Induk' yang telah diutuskan oleh Allah swt. kepada nabinya Muhammad saw.

Ustaz Said Hawa telah menggariskan sepuluh perundangan Usrah Muslimah yang wajib dilaksanakan:-

Qanun 1: Kebersihan dan Kesucian

Qanun 2: Sistematika , Penyusunan & Kekemasan

Qanun 3: Ketenteraman dan Kerahsiaan

Qanun 4: Sistematika Ilmu dan Ibadah

Qanun 5: Belanjawan

Qanun 6: Komunikasi dan Interaksi

Qanun 7: Kesihatan dan Pergerakan Jasmani

Qanun 8: Kawalan penghuni dan Nahi Mungkar

Qanun 9: Kejiranan dan Tetamu

Qanun 10: Keluar Masuk

TIP USRAH MUSLIMAH CEMERLANG

Firman Allah swt: "Dan diantara tanda kekuasaan Allah ialah ia menciptakan untukmu isteri - isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia jadikan diantara kamu rasa kasih sayang ...." ( Ar - Ruum 21 )

Objektifnya:

1. Rumahtangga yang dibina atas dasar taqwa dan kesinambungan dakwah.

2. Menghiasi rumahtangga dengan Biah Islamiyyah.

3. Kreatif dalam memeriahkan suasana rumahtangga seperti Tazkirah, Qiam, Jaulah, Ziarah , Infaq dan persekitaran yang ceria seperti gubahan bunga, penyusunan perabot, pelan pembinaan rumah, halaman yang segar dan sebagainya.

4. Mendalami tanggungjawab dalaman dan luaran suami isteri melalui pembacaan, perbincangan dan pengamatan.

5. Menjadikan rumahtanggga sebagai Markaz Dakwah.

6. Mengamal konsep Tanasuh dan Tafahum.

7. Menunaikan hak-hak suami isteri seperti kepuasan seks, kerahsiaan dan seumpamanya.

8. Tidak mudah buruk sangka terhadap pasangan dan mengamalkan sikap berlapang dada dalam sesuatu perkara.

9. Pengurusan ekonomi yang sederhana dalam rumahtangga. Kreatif menambah sumber kewangan rumahtangga untuk kegunaan peribadi dan dakwah.

10. Melibatkan diri dalam mana-mana organisasi atau Jamaah Islam dan mengikuti perkembangannya seperti keterlibatan dalam program sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran dakwah dan bertanggungjawab sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi.

PENUTUP

Usrah Muslimah adalah Madrasah yang bertanggungjawab penuh melahirkan individu Muslim yang memahami tugas dan peranan mereka sebagai Hamba Allah. Lantaran itu, kejayaan sesebuah Usrah Muslimah dinilai sejauh mana ianya mampu melahirkan individu Muslim yang memiliki identiti dan kualiti Muslim Rabbani. Kegemilangan Usrah Muslimah tidak hanya terhenti pada rupa wajah dhohir dan kebahagiaan sementara yang dikecapi di dunia ini sebaliknya bergantung kepada nilai ukhrawi yang wujud pada Usrah Muslimah tersebut.



terpeliharakah takwa kita...

Terpeliharakah takwa kita

quran tasbih

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira, lebih-lebih lagi nikmat selamat mengharungi dan menghayati Ramadan yang baru berlalu.

Kita semua maklum bahawa Ramadan adalah sebuah madrasah yang didirikan untuk menjana sifat takwa dalam diri hamba-hamba yang beriman sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah 2:183)

Orang yang bertakwa atau muttaqin adalah segolongan hamba yang paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

“...Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu,...”

(Al-Hujurat 49:13)

Orang yang bertakwa juga merupakan golongan yang diperakui berada di atas jalan yang benar dan termasuk dalam golongan mereka yang mendapat kemenangan. Di permulaan surah al-Baqarah, setelah menyebut beberapa ciri yang ada pada mereka yang bertakwa, Allah taala mengakhiri dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Al-Baqarah:5)

Kejayaan dan keberuntungan yang diperoleh oleh mereka yang bertakwa bukan sahaja berupa kejayaan di akhirat. Sebaliknya Allah taala telah menjamin berbagai-bagai nikmat, ‘inayah dan ma’unah semasa hidup di dunia lagi.

Antaranya:

1. Disediakan jalan keluar daripada segala kesempitan dan permasalahan yang melanda dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak diduga. Firman-Nya bermaksud:

“...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya...”

(At-Talaq 65: (2-3)

2. Tidak mudah terpedaya hasutan syaitan. Allah ‘Azza wa Jalla akan sentiasa melindungi mereka daripada terjebak ke dalam kesesatan yang cuba diperdaya oleh syaitan durjana. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan daripada syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).

(Al-A’raf 7: 201)

3. Allah akan menampakkan mereka perbezaan antara yang benar dan yang salah. Dengan yang demikian mereka akan terpelihara daripada tergelincir ke lembah dosa dan maksiat. Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”

(Al-Anfal 8: 29)

Selain mendapat anugerah yang begitu besar di dunia, mereka disediakan pula ganjaran yang tidak ternilai hebatnya di akhirat kelak. Ganjaran-ganjaran itu digambarkan dengan cukup indah dan mendamaikan dalam banyak ayat yang terkandung dalam al-Quran.

Antaranya:

1. Diampuni dosa dan diberikan cahaya menerangi perjalanan di akhirat kelak sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak) serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Hadid 57: 28)

2. Disediakan syurga yang indah tidak terkata:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta sebagai balasan daripada Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikan-Nya).”

(An-Naba’78: 31-36)

Bagaimana memperoleh dan memelihara takwa?

Allah ‘Azza wa Jalla telah menunjukkan jalan bagaimana mencapai takwa dan bagaimana memeliharanya. Sebelum itu, perlu difahami terlebih dahulu apa maksud takwa yang sebenarnya.

Ibn Kathir meriwayatkan bahawa menurut Ibn ‘Abbas radiallahuanhu., orang yang bertakwa itu ialah orang beriman yang memelihara diri daripada syirik dan mentaati Allah dengan mengerjakan suruhan-Nya.

Al-Hasan al-Basri pula berkata, orang yang bertakwa ialah mereka yang memelihara diri daripada perkara yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa yang difardhukannya.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang hamba itu tidak sampai ke darjat muttaqin sehingga dia meninggalkan perkara yang tidak berdosa kerana takut terjerumus melakukan perkara yang ada dosa”.

Ubai bin Ka’ab r.a. telah membuat satu perumpamaan yang mudah ketika beliau ditanya oleh Umar bin al-Khattab tentang takwa. Beliau bertanya Sayidina Umar, “Pernahkah anda berjalan di suatu jalan yang penuh duri?”, Umar menjawab, “Ya, pernah?” “Lalu, apa yang anda lakukan?” Umar menjawab, “Saya menyinsing kain dan melangkah berhati-hati.” “Maka, itulah dia takwa!”

Maka takwa adalah langkah menjauhkan diri daripada larangan Allah dan berusaha sedaya mampu melaksanakan suruhan-Nya.

Antara jalan untuk mencapai takwa adalah:

1. Berpuasa seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 183.

2. Menerima dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Firman Allah bermaksud:

“Dan orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk serta memberi mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.”

(Muhammad 47:17)

3. Menghayati ciri-ciri orang yang bertakwa. Ciri-ciri mereka dinyatakan dalam beberapa ayat. Antaranya terkandung dalam surah az-Zariat yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(Az-Zariat 51:15-19)

Mudah-mudahan peringatan yang serba ringkas ini dapat membantu kita mencapai takwa dan sentiasa memeliharanya.

Ditulis oleh:

Ustazah Maznah Daud

Latar Belakang al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz

aku sering mendengar tentang habib umar namun tidak pula diri ini mengenalinya..namun setelah mengetahui tentangnya..aku mulai berminat mnegetahui cerita tentangnya..untuk itu, kali ini aku berkongsi serba sedikit latar belakang tentang habib umar. insyaAllah,setiap kali aku menjumpai cerita tentangnya,akan ku kongsi di blog ini..


Al-Alamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan anak Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya

Dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M. Mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry. Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain.

Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-

1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka

2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak

3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.

Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.

Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun.

Doa..


Alangkah ramai manusia yang bermohon kepada Tuhan supaya dimakbulkan segala yang diinginkan, namun tidak jua dimakbulkan. Kemudian manusia mengeluh dan bersangka buruk kepada Tuhan, lantas putus asa mencari keredhaan-Nya. Itulah hakikat manusia saban hari.

"berdoalah kepadaKu, dan berimanlah agar kamu memperoleh kebenaran."
(surah Al-Baqarah:186)

Kita tidak berdoa pun Allah sudah sedia mengetahui segala isi hati manusia.

"dan Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan."
(surah An-Nahl:19)

Jadi, mengapa masih perlu berdoa?

Berdoa sebagai tanda pengabdian diri kita sebagai hamba yang hina lagi dhaif kepada Allah, tidak ada tempat bergantung selainNya.

"cukuplah DIA sebagai tempat manusia bergantung harap dan tawakal."
(surah At-Taubah:129)

Tapi, mengapa masih tak termakbul juga doa?

Pandanglah diri sendiri, adakah kita lebih mencintai Allah daripada kesenangan duniawi? Cepat atau lambat dimakbulkan itu urusan Ilahi, kerana Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik bagi setiap makhluk ciptaan-Nya.

" dan apabila manusia ditimpa bahaya, Dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, Dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah Dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."
(surah Yunus:12)

Sekiranya kita tidak dapat perkara yang dihajati, bersyukurlah dengan kondisi diri dinihari. Semakin dekat kita kepada Allah, semakin hebat dugaan. Itu membuktikan Allah sangat kasih kepada sekalian hamba-Nya, agar kita benar-benar ikhlas dalam mencari keredhaan-Nya serta tidak termasuk di dalam golongan yang lalai dan terbiar diabaikan.

Manusia yang diuji sedemikian rupa akan merasa manisnya iman, seolah-olah syurga sudah tersedia di hadapan mata, tapi ingatlah firman Allah dalam (surah Al-Baqarah:214) yang bermaksud:

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (dugaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?". Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."

Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, benarlah doa itu senjata orang-orang mukmin. Yakinlah dengan sepenuh hati. Dunia bukan syurga yang dicari, nikmat kesenangan dunia hanya setitis air di lautan sahaja.

- Artikel iluvislam.com

Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah juga satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.

Antara masalah yang wujud di persekitaran kita ialah masalah kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, pertengkaran dengan ibu bapa, corot dalam peperiksaan serta beribu-ribu masalah lagi. Masalah juga boleh menyumbang kepada masalah yang lain, contohnya masalah remaja yang tidak tahan dengan leteran ibubapanya boleh membawa remaja itu kepada masalah lepak, pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh. Masalah yang kecil apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat besar.

Setiap hari kita tidak akan terlepas dilanda dengan masalah, sekiranya bukan kita yang bermasalah, orang lain pula yang mendatangkan masalah. Oleh itu kita perlu bersedia menghadapi permasalahan tersebut dan cuba mencari kaedah untuk mengatasinya. Sempena kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal yang mulia ini, mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud setiap masalah itu, kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masalah dengan tenang.

UJIAN IMAN

Masalah sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan hanyut dengan maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau landasan yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun telah jauh menyimpang.

Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud firman Allah :

"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." ( al-Ankabut: 2 - 3)

DARJAT DI SISI ALLAH

Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:286 yang bermaksud“ Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.

Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka." ( at-Taubah: 111)

CARA MENGATASI MASALAH

1.Sandarkan Harapan Pada Allah

Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”

"Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya
kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)

2.Minta Pertolongan Dari Allah

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)

3.Jangan Sedih dan Kecewa
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139)

Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah:

...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”( Yusuf : 12)

4.Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kamu tanggung.

5.Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin masalah orang lebih besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.

Penutup

Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." – (al-Baqarah: 216)

Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan apabila kamu mencintai seseorang dan kamu tidak memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.”

Amira meneliti bait-bait kata puitis itu sepenuh hati. Itulah yang berlaku pada dirinya sekarang, mencintai seseorang dalam diam, dia tidak mampu untuk memberitahu perasaannya itu pada orang yang dicintainya. Amira merasakan dirinya penuh kekurangan, sebenarnya rasa rendah diri yang keterlaluan itulah yang menyebabkan dirinya seolah-olah terkurung dengan perasaannya sendiri, dan dia seolah olah rela melepaskan orang yang dicintai sepenuh hati dalam diam itu pergi.

Amira mengeluh kecil, sambil meletakkan pen yang dipegang untuk kedapur. Didapur mamanya sedang menggoreng ikan berdasarkan bunyi desiran minyak panas dikuali.” Mama masak apa hari ni? Tanya Amira.”hari ni mama masak lauk istimewa untuk dua orang anak mama ” balas Puan Lisa.”kakak mana?” tanya puan Lisa sambil meninjau melihat ikan yang digorengnya. “ Apa lagi, tidur lagi Ma” balas Amira. “Puteri ni, apa nak jadi, tidur tu kalau tak dah tengah hari tak bangun, apa nak jadi dengan anak dara zaman ini” rungut Puan Lisa. “ Ma, jangan marah, kak Puteri buat kerja malam tadi, lepas subuh tadi baru dia tidur” jelas Mira, dia masak perangai mamanya yang cepat sangat marah kalau ada yang tidak kena dengan anak-anaknya.”Mana Mia tahu? Tanya Puan Lisa pula,dia rasa bersalah pula merungut tanpa usul periksa. “tadi masa Mia bangun solat subuh, Mia jenguk bilik Kak Puteri tengah mengadap komputer lagi dan lepas tu dia solat subuh dan pesan pada Mia kejutkan dia pukul 10 pagi, la sekarang dah 10.30, matilah Mia lupa nak kejut dia,nasib baik Mama tanya kalau tak habis Mia, Mia pergi kejut kakak sekejap Ma” .Terkocoh-kocoh Amira menaiki anak tangga ketingkat atas untuk mengejutkan kakaknya.

Puan Lisa hanya menggeleng kepala melihat telatah Amira. Amira Safia dan Puteri Balqish dua butir permata bagi dirinya. Amira seorang yang peramah tetapi ada bab-bab yang tertentu boleh meyebabkan dia menjadi sangat pendiam, bijak, baik hati dan paling berdisiplin, masih belajar disebuah Universiti tempatan. Manakala Puteri, seorang yang manja walaupun dia anak sulung, lemah lembut berbanding Amira, petah berhujjah dan kini bekerja sebagai peguam disebuah firma guaman terkenal .Dia bersyukur kedua orang anaknya dapat membesar dengan suasana yang baik dan dia sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka.

“Kak Puteri, Mia tanya sikit boleh tak?”, Amira bersuara sambil matanya asyik memandang kakaknya yang sidang sibuk menaip menggunakan komputer. “Tanyalah, apa dia?, Sejak bila minta izin nak tanya ni, biasanya tak pernah pun nak minta izin” jawab puteri sambil matanya tidak lekang dari skrin komputer. “o.k, macam ni, …aa ..”berat mulut Amira untuk berkata.” wei, apanya Mia” tanya puteri , Mia adalah panggilan untuk Amira . Puteri menyimpan fail yang dibukanya dan mula keluar dari ‘microsoft word’ dan terus membiarkan komputer terbuka. Serta-merta dia mengadapkan mukanya ke muka Amira. Mereka sangat rapat dari kecil kerana di rumah itu hanya mereka berdua beradik . Puteri dapat merasakan ada sesuatu yang berat mengganggu hati Amira adik kesayangannya itu. Puteri walaupun anak sulung yang manja tetapi dia tetap boleh diberi ‘award’ sekiranya apa-apa jua masalah yang berkaitan dengan adik dan mamanya, biasanya dialah yang

“o.klah, adik, apa dia, beritahu kak puteri, macam berat sangat ni, beritahulah kalau kak puteri boleh tolong, kak putri tolonglah, kalau tak dapat nak tolong kita cubalah iktiar untuk selesaikannya, O.k?” Puteri memberi jaminan. Amira membisu, dia sebenarnya mahu memberitahu puteri perkara ini tetapi dirasakannya amat berat mulutnya. Adakah masalah ini penting atau tidak penting? Patutkah dia minta pandangan Puteri? Itu yang berlegar-legar dalam fikirannya. Dia mengambil keputusan untuk memberitahu puteri kerana dia rasa sudah tidak sanggup lagi untuk memikirkannya.

“Macam ni kak, Mia rasa Mia suka dengan seseorang, tapi dia tak tahu Mia suka dengan dia, Mia rasa macam dekat sangat dengan dia walaupun kami jarang sekali bertegur sapa, Mia selalu sangat terserempak dengan dia, masa tu jantung Mia mesti dup…dap..dap..macam tidak boleh nak berhenti..Mia perasaan jantung Mia jadi macam ini beberapa minggu lepas,..orang kata ini adalah perasaan cinta…betul ke Kak Puteri?” suara Amira berterus terang tentang lelaki yang disukainya. Itulah positifnya Amira, dia akan bercerita tanpa berselindung dengan Puteri walau apa pun masalah dan yang penting sikapnya yang sering berusaha untuk keluar dari masalah sering menjadikan dia istimewa pada pada pandangan Puteri. Puteri kenal lelaki yang disebut Amira itu, rasanya dia tinggal ditaman yang sama dengan tempat tinggal kami.

“Mia, rasanya dia tinggal kat taman kita ni jugakan? Puteri minta penjelasan.”Ya..tepat sekali!”.jawab Amirah pantas.

“Macam itu pun boleh jatuh cinta?’, memang cinta itu buta!” puteri berkata sambil tersenyum sinis pada Amira.Walau apa pun pada pandangan puteri lelaki itu memang baik jadi tidak mustahil Amira menyukainya. Puteri tersenyum, Ini rupanya yang bersarang difikiran Adiknya. Patut akhir-akhir ini dia nampak sikap Amira sedikit pelik, kadang-kadang nampak terlalu bersemangat dan kadang-kadang nampak lesu, jatuh cinta rupanya…cinta remaja (cinta monyet atau sejati?) entah puteri sendiri tidak tahu untuk mengukurnya.

“kak Puteri, janganlah senyum-senyum macam tu, kalau tau kak Puteri cuma nak senyum dengar masalah Mia ni, lebih baik tak payah beritahu” bebel Amira.

“ La…, senyum pun tak boleh?”Giat Puteri. “adik dah jatuh cinta rupanya, tapi si dia tak tahu adik suka dia, susah ni dik ,apa orang kata “ bertepuk sebelah tangan”!, tak berbunyi..so tak ada faedahnya, kita kena ingat apa pun yang kita lakukan mestilah ada manfaatnya dan kena berpijak dibumi nyata tahu?” jelas Puteri.

“habis macam mana nak selesaikannya, kak Puteri tolonglah, hari-hari asyik ingat dia tu, memang tak berfaedah rasanya, tapi perasaan itu datang sendiri”gumam Mira.

“ Adik, bercinta tak salah tapi yang tak betul ialah cara kita melayan cinta itu, lebih-lebih kita sebagai wanita Islam, kena jaga adab dan syariat dan lebih-lebih lagi Mia tengah belajar pula tu, kak puteri tak halang adik suka orang tu, itu adalah fitrah manusia. Satu masalahnya orang tu tak tahu adik suka dia. Sekarang ini akak boleh beri dua pandangan , suka hatilah mana satu adik nak pilih”.

“Pertama, adik berterus terang dengan dia, beritahu dia adik suka dia dan nak berkawan dengan dia, risikonya dia akan terima atau tolak cinta adik,sekiranya dia lelaki yang baik dia akan terima dan tolak dengan cara yang terhormat, maksud maruah kita sebagai wanita masih terjaga,andainya tidak, tercalar juga maruah kita sebagai wanita, berani ke dik? Adik fikirlah. Cadangan Yang kedua , adik simpan sahajalah perasaan suka dengan dia itu, Kalau benar dia jodoh Mia, ia tidak akan ke mana-mana, sekarang Mia masih belajar, dia pun tengah belajar, utamakan pelajaran, anggap perasaan cinta ini sesuatu yang manis dan ia boleh menjadi sumber kekuatan bagi kita untuk terus hidup, buat solat hajat dan solat istikharah”.

“Sebenarnya apabila kita menyintai seseorang tidak semestinya kita mesti memilikinya, dan cinta yang sejati itu ialah kita sentiasa doakan kebahagiaannya walaupun dia tiada di sisi kita, dengan cara itu kita juga akan rasa bahagia” jelas puteri lagi, dia pun tidak tahu bagaimana dia pandai berfalsafah tentang cinta. Tetapi apa yang dilontarkan itu ada logiknya pada pandangan Amira.

“Mia, jangan kerana cinta, kita gugur dari perjuangan, dan jangan kerana cinta juga, prinsip kita menjadi larut dan cair, cita-cita Mia belum lagi tercapaikan? Cinta tidak semestinya akan berakhir dengan perkahwinan dan perkahwinan juga tidak semestinya akan menoktahkan titik akhir kepada percintaan. Hanya kesetiaan akan mengikat cinta. Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi . Di mana ada cinta di situ ada kehidupan. Itulah positifnya cinta ”jelas Puteri lagi. “Sekarang ini terserah pada adik nak buat keputusan. O.k? “.Puteri meneruskan semula kerjanya yang tergendala tadi. Dia berasa lega dapat memberikan pandangan tentang masalah itu. Dia dapat melihat wajah Amira yang keruh sudah ceria semula, itu menunjukkan Amira akan dapat membuat keputusan yang tepat untuk dirinya sendiri,

###########

“Betul kata kak Puteri, cinta tak semestinya memiliki, sekarang ini aku harus lepaskan dia pergi dahulu, kalau ada jodoh tak ke mana, aku masih mempunyai banyak perkara untuk diburu dalam hidup ini selain memburu cintanya” bisik hati Amira sambil tersenyum walaupun ia sedikit pahit untuk dilalui dan turut membekas dihatinya. Amira tahu keputusan yang dibuat ini akan melegakan kak Puteri dan Mamanya. Perjalanan hidupnya masih berliku, dia berazam untuk membuat yang terbaik dan dia juga berdoa agar cinta itu akan menjadi miliknya satu hari nanti. Hatinya berbunga ceria apabila mengingatinya.

­

Rasulullah jadikan dugaan, motivasi bakar semangat perjuangan
Oleh Mohd Hishammuddin Mansor

2011/02/28

RASULULLAH SAW diutuskan membawa rahmat ke atas sekalian alam seperti difirmankan Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’ : 107)

Baginda kasih kepada umatnya, tidak mahu mereka teraba-raba dalam kesesatan mencari Tuhan sebenar. Baginda juga tidak mahu umatnya melakukan penderhakaan kepada Allah SWT yang kelak mengakibatkan mereka memperoleh azab yang dahsyat di akhirat.

Justeru, Rasulullah SAW tidak jemu-jemu mengajak umatnya mentauhidkan Allah SWT. Dalam menyebarkan ajaran yang suci ini, Rasulullah SAW berdepan dengan pelbagai cabaran daripada kalangan Musyrikin Makkah dan kaum munafik di Madinah, selain orang Yahudi yang bersifat degil serta Nasrani yang menganggap Nabi Isa sebagai Tuhan.

Pelbagai dugaan, ancaman dan penderitaan yang baginda alami, semuanya dihadapi dengan sabar dan tabah kerana baginda sedar apa yang disampaikan olehnya ialah sesuatu yang hak. Rasulullah SAW menginsafi bahawa rasul terdahulu sebelum baginda juga berdepan dengan pelbagai fitnah dan kerenah daripada kaumnya.

Ada rasul yang dibunuh dengan kejam seperti Nabi Zakaria dan ada rasul yang dicampak ke dalam api seperti Nabi Ibrahim dan ada juga rasul yang hampir disalib seperti Nabi Isa. Semuanya menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada Rasulullah SAW untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya yang maha suci.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (At-Taubah : 128)
Walaupun ditawarkan dengan pangkat, harta dan gadis jelita, Rasulullah SAW tidak pernah berganjak, apatah lagi berundur sejengkal dalam perjuangan menyebarkan ajaran tauhid kepada umatnya. Sifat Rasulullah SAW yang mulia ini memberi isyarat kepada musuh-musuh Islam bahawa baginda bukanlah seorang yang gilakan kuasa, apatah lagi tamakkan harta serta kaki perempuan.
Sifat kasih Rasulullah SAW tidak terbatas kepada umat yang hidup sezaman dengan baginda saja. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ad-Darimi, Al-Baqawardi dan Ibnu Qani daripada Abi Jum’ah Al-Ansari yang bermaksud: “Berkata dia (Abi Jum’ah Al-Ansari) : Aku bertanya: Ya Rasulullah! Adakah satu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman dan kami mengikut akan (ajaran) engkau? Jawab baginda SAW: Apalah akan halangannya bagi kamu (untuk beriman kepadaku), sedangkan Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi satu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka kitab Allah yang ditulis di antara dua Luh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang disebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.”

Jika dilihat kepada kesungguhan baginda dalam membasmi syirik sekali gus menyebarkan tauhid, sebenarnya ia adalah pemakbulan doa moyang baginda Nabi Ibrahim as seperti yang dirakam dalam al-Quran.

“Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-kitab (al-Quran) dan al-hikmah (As-Sunnah) serta menyucikan mereka (daripada syirik). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah : 129)

Oleh kerana terlalu besar jasa baginda SAW, maka wajib bagi umatnya menyintai Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap yang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah jika bapa kamu dan anak kamu dan saudara kamu dan isteri kamu dan kaum keluarga kamu dan harta kekayaan yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang fasik.” (At-Taubah : 24)

Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.

Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.

Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.

namun tatkala kita membicarakan tentang rama-rama,tidak kita terfikir yang ianya boleh dibaratkan sebagai seorang wanita. Wanita indah untuk disentuh, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.

Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya. Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.

Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya. Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.

Daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]

Alangkah mudahnya jalan yang Allah hamparkan kepada seorang wanita untuk masuk Syurga Allah. Antaranya menjaga kehormatan diri setelah mendirikan solat dan berpuasa. Apabila telah tiba jodoh pertemuannya, maka taatilah suami dan mereka dimuliakan Allah dengan memberi keistimewaan untuk masuk Syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya..

ya Allah,lindungilah aku dari pesona dunia.. pimpinkanlah aku ke jalanMu..semoga diri ini dijauhkan dari perkara mungkar..