muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Thursday, September 3, 2015

refresh blog dr terus usang

Assalamualaikum wbt..
Usang dan berhabuk blog yang sekian lama menyepi. Komitmen untuk keluarga lebih diutamakan. A lot of thing yang terpendam dalam hati ini, Tapi semua itu menjadi rahsia hati dan Ilahi. Cukup Allah mengetahui dan memahami apa yang aku lalui. Hidup harus ada cobaan dan cabaran. Kerna fitrah kehidupan itu adalah perjuangan! Lalui dengan hati yang lapang. Moga yang duka itu peroleh ubat di akhirat kelak.
Tiada apa yang ada pada diri bila kita sering mengadu domba pada makhluk Ilahi.
Jadikan nilai diri anda itu tinggi dengan meninggikan Ilahi Yang Menciptakan kita dari titisan air mani. Cukup hina cukup kotor.
Baluti sekujur tubuh yang hina itu dengan taqwa dan amal.
moga Allah redha.

Sunday, March 1, 2015

Rabiatul Adawiyah - zuhudnya wali Allah (part 4)



Kembara Rabiah di dunia fana ini diteruskan. Redha Ilahi tujuan hidupnya. Kesufiaannya tidak sedikit pun tercela. Tawaduknya, zuhudnya masih utuh di dalam sanubari Wali Allah ini. Tanpa punya arah tuju, Rabiah hanya mengikut langkah kakinya. Kerna sudah 10tahun dia terkurung dalam rumah tuannya itu. Hanya keluar seketika untuk membeli barang. Selebih waktunya hanya di rumah itu. Kini dia perlu mencari tempat untuk berteduh. Kebergantungan hanya pada Ilahi. Mana kaki di bawa di situ tujuan dan tempatnya.
Dalam perjalanannya, dia teringatkan kampung halamannya. Basrah! Dia segera ke pondok usang yang dibina arwah ayahnya. Kelihatan kakak-kakaknya tiada lagi di pondok usang itu. Ada penduduk menyatakan kakak-kakaknya mencari Rabiah dan sehingga detik ini tidak pulang ke pondok itu. Hiba hatinya. Sudah lama dia tidak menemui kakak-kakaknya. Hanya tadahan doa yang mengiringi kakak-kakaknya. Rabiah mengharapkan Allah melindungi kakak-kakaknya.
Pondok usang itu dikemasnya. Kini itulah menjadi kediamannya. Tempatnya bermadu kasih dengan Sang Pencipta. Kerinduaanya kini dapat diubati. Dia gembira walau sedikit rasa sedih terpancar dalam hatinya. Namun diri bernekad untuk segala perasaan di hatinya hanya bertujuaankan Ilahi. Rasa cinta, sedih, gembira hanya untuk Ilahi. Kediaman telah dia miliki semula. Kini dia harus mencari pekerjaan. Rasulullah idolanya. Dan bagi Rabiah, sedang Muhammad S.A.W. itu seorang Rasul pun masih bekerja, ini kan dia. Dirinya juga manusia biasa. Ada tanggungjawab untuk mencari rezeki untuk kembara yang dia lalui. Justeru, dia cuba mencari pendapatan.
Oleh kerna Rabiah tidak lagi ingin menjadi hamba kepada manusia, dirinya kini telah bernekad untuk menjadi hamba Ilahi Yang Esa. Dia ingin bekerja sendiri. Hadirnya kini ke Basrah, memberikan pandangan baru kepadanya. Dulu pemergiaannya dengan keadaan darurat oleh kerna kemarau yang melanda penempatan itu. Kini segalanya berubah. Basrah menjadi tempat pengarah dengan aliran sufi. Ulama’ yang menjadi rujukan penduduk ketika itu Syeikh Hasan bin Abi Hasan. Keadaan betul-betul berubah. Pemakaian penduduk situ melambangkan orang zuhud. Pengikut tarekat sufi begitu meluas dan berpengaruh.
Dalam ekspedisinya mencari pekerjaan, Rabiah bertemu dengan seorang muslimat. Dia mendapat banyak maklumat tentang golongan sufi dan muslimat itu memberikan pandangan untuk Rabiah menyertai kumpulan itu. Kumpulan itu di bawah pengaruh Syeikh Hasan bin Abi Hasan. Rabiah senang hati untuk mengikuti kumpulan itu. Waktunya untuk bersama Ilahi terisi dan dia juga boleh menjalankan tanggungjawabnya untuk berdakwah. Membawa sekalian ummah untuk bersama menyintai Ilahi.
Namun, disebalik usaha untuk seorang hamba, Allah merancang suatu tarbiah. Rabiah berbelah bagi untuk mengikuti kumpulan itu. Walau dia miliki bakal untuk bersyair, bernasyid, dan brmain ala muzik, namun keterbatasannya sebagai seorang muslimah itu menjadi kekangan buatnya. Berhari-hari Rabiah memikirkan hal tersebut. Sungguh, hatinya berbahagia sekiranya Rabiah dapat mengikuti kumpulan itu di majlis zikir. Tapi keterbatasannya menjadikan dia serba salah.
Sesungguhnya wanita itu pembawa fitnah yang besar jika golongan ini tidak menjaga batasan yang digariskan syara’. Justeru, itulah yang menjadi ketakutan buat Rabiah. Dia khuatir kekasihnya akan kecewa dengannya. Rabiah juga apa yang dilakukan akan membawa murka Ilahi. Hatinya pasti sayup tatkala dimurka sang kekasih Agung. Kerna itulah cinta sejatinya. Pasti Rabiah menjaga sebaik-baiknya cinta itu. Cinta yang disemai dari kecil, kini sudah matang cinta yang dibajai dengan kesetiaan walau derita datang menerjah.
Untuk mendapatkan pencerahan di atas situasi yang melandanya, Rabiah mengambil pendekatan untuk merujuk dengan ulama’ yang mana lebih arif tentang bab ini. Pada zaman itu, Syeikh Hasan bin Abi Hasan merupakan ulama’ yang mahsyur. Berpandukan kitab suci, sesungguhnya Allah melihat hati seseorang, dan jika hati itu ikhlas kerna Allah, maka dilaksanakan saja hajatnya.
Pelbagai pendapat yang diperolehinya. Ada yang menyebelahinya, ada juga yang membangkang hajatnya. Rabiah dalam kebuntuan. Namun teringat akan satu kisah dari seorang ulama’ yang menceritakan tentang kisah Saidatina Aisyah. Yang mana pernah pada hari raya, Saidatina Aisyah menjemput 2 orang penyanyi untuk menyanyi pada hari itu di rumahnya. Lalu bapanya Saidina Abu Bakar memarahinya akan perbuatan itu lalu ditegah oleh baginda S.A.W. dengan bersabda hari ini adalah hari raya, dan dibiarkan saja mereka. Ujar baginda S.A.W. lalu meninggalkan tempat itu.
Rabiah masih gusar. Walau dia telah berjumpa ulama’, namun hatinya tetap menginginkan jawapan dari Sang Kekasih. Seperti pasangan kekasih. Ingin meminta kebenaran orang yang dicintai, begitu juga Rabiah. Dia ingin meminta kebenaran dan keizinan dari Ilahi. Selagi Allah tidak menjawab persoalan yang membelenggu benak fikirannya, Rabiah tidak tenang. Walau macam mana pun petunjuk Allah, Rabiah inginkan jawapan atau petunjuk dari Allah.
Petang itu, Rabiah merenung jauh ke awan biru. Matanya memerhati luasnya alam ini. Dilihat sekelilingnya. Tanpa dirinya sedar dia terdengar akan bunyi yang indah. Bunyi-bunyian kincauan burung, bunyi angin sepoi-sepoi bahasa, sungguh menakjubkan! Sang Ilahi bagai ingin memujuk hati Rabiah untuk tidak bersedih lagi. Pujukkan itu jugalah menjadi petunjuk akan jawapan yang dinantikan oleh Rabiah. Bunyian alam itu bagai lafaz tasbih, tahmid dan ta’bir buat Ilahi. Menakjubkan! Setiap alam semesta punya cara dan lenggok bahasa untuk berzikir kepadaNya.
Begitu menakjubkan zikirmu kepada Ilahi wahai alam. Berterusan tanpa henti. Andai dicincang nescaya tidak akan pernah putus ikatan dan penghambaan alam buat Ilahi. Kehadiran bunyi itu sangat merdu dan memberikan ketenangan bagi yang mendengarnya. Sungguh, setiap kejadiannya itu berhikmah. Seisi alam menjadi saksi kebesaran dan keagungan Ilahi. Sayup hati kerna tidak mampu menjadi seperti alam yang toat akan Ilahi. Memberikan ketenagan dalam hati dan jiwa insan bernama KHALIFAH BUMI yakni manusia. Sedang manusia sebagai khalifah bumi, dibuai dengan keasyikan dunia. Lalu tanggungjawab kepadaNya digalas lewa.
Dari kalam Allah dalam Surah al-Israk ayat ke-44 “ Langit yang ketujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasanya mengucapkan tasbih bagi Allah dan taida sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya tetapi kamu tidak faham tasbih mereka. Sesungguhnya ia maha penyabar, lagi maha pengampun”
Mengamati bunyian alam semesta membawa ilham buatnya. Ilham untuk terus memuji cinta hatinya. Sesungguhnya alam ini juga sebenarnya sedang berzikir mengingati Ilahi dan memuji Ilahi dalam gerak bahasa dan dialek mereka sendiri. Hanya kerna kekurangan kita menjadikan kita terbatas untuk memahami alunan zikir alam buat Sang Rabb.
Sungguh! Keteguhan hati seorang hamba pada Ilahi. Tidak pernah goyah walau sesaat. Hatinya sentiasa bersandar kepada Ilahi. Perit rasanya apabila Sang Kekasih tidak menjawab segala kegusaran di hati. Bagai tidak mampu ditelan segala isi makanan. Kaki bagai tidak mampu berdiri. Rabiah nekad untuk menantikan jawapan yang dicari. Istikharah memanggilnya. Bermalam-malam Rabiah beristikharah menghadap Ilahi. Mencari jawapan dan menggali hikmah yang diaturNya.
Setelah berperang dengan perasaan, kini Rabiah nekad mengikuti majlis zikir di Basrah. Gempak perkhabaran tentang kemerduaan dan kelunakkan Rabiah bermain seruling. Benar, jika suatu pemberian itu hadir dari hati yang jernih dan ikhlas kerna Ilahi, ianya juga sampai ke hati yang menerimanya dengan baik. Begitulah dengan kisah Rabiah. Dari hati yang tulus ikhlas kerna Ilahi, gemersikan alunan seruling itu sampai ke hati yang mendengar sehingga menitiskan air mata para penonton. Para pendengar seakan terpukar dengan alunan seruling itu. Alunan yang mengajak hadirin yang hadir untuk menyintai Allah. Membawa hadirin untuk bersama terbuai dengan kelazatan cinta Ilahi. Oleh kerna alunan itu datang dari hati yang suci tanpa noda, maka ramai yang insaf. Dari yang jahat berubah baik. Dari baik berubah menjadi lebih baik. Wahab, dahulunya sangat menyintai dunia kini insan dan mendekati majlis zikir.
Dalam alunan yang mengasyikkan itu, masih ada lah yang ingin berbahas tentang kewujudan Rabiah. Namun masih ada juga hamba Allah yang menegakkan Rabiah. Ada yang menyatakan ianya majlis maksiat dengan kehadiran Rabiah di majlis itu. Segalanya berakhir bila ada yang kehadapan mengatur bicara menyatakan ianya bukan maksiat kerna Rabiah sudah menjaga kehormatan dirinya dengan menutupi aurat termasuklah wajahnya yang disembunyikan di sebalik hijab yang tidak membenarkan sesiapapun yang bisa merantah wajah ayunya. Hanya suara yang diperdengarkan. Dan ianya hadir dari hati yang tulus ikhlas kerna Allah. Bukan untuk memiliki dunia. Tidak juga untuk menjadi pemikat ajnabi. Buktinya, alunan itu mampu dihayati dengan penuh rasa kenikmatan bahkan membawa hadirin kepada Allah dengan sangat erat. Mustahil wujud sekiranya ia dari hati yang terpesong dari keikhlasan.
Kini kehidupan Rabiah semakin baik. Tercapai hajatnya untuk sentiasa bersama kekasih Agung. Bahkan dia membawa sekalian penduduk untuk bersama-sama merasai kenikmatan serta kelazatan dalam cinta Ilahi. Semakin hari semakin  bertambah bilangan hadirin yang hadir ke majlis zikir. Bukan sekadar orang biasa, bahkan para ulama’ besar juga hadir bagi mendapatkan keberkatan di dalam majlis itu. Rabiah kini bukan hanya meluangkan masa untuk majlis zikir, bahka dia turut menuntut ilmu dalam bidang fikah, tauhid dan sebagainya. Kehidupan yang penuh dengan pengabdian diri pada Ilahi.
Selain mengikuti kuliah, Rabiah juga ada membuat usrah untuk wanita Basrah. Ramai pengikutnya. Menjadikan Rabiah sebagai rujukan dan menggunakan manfaat yang Allah berikan ini. Bagi mereka Rabiah adalah Rahmat Allah. Rahmat yang mereka boleh manfaatkan untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Mereka berlumba dan bersaing secara sihat dalam memperhambakan diri kepada Allah. Tidak setitik pun hati mereka ternoda untuk menjatuhkan sesama sendiri. Begitulah kukuh dan teguhnya iman mereka. Saling membantu dalam memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik.

Rabiatul Adawiyah - kembara wali diuji lagi (part3)



Suatu hari, di saat Rabiah keluar seorang diri, tanpa dia sedari, selain dirinya, terlihat keberadaan dua lelaki yang sedang mengintipnya. Rabiah rebah dijalanan akibat kepalanya diketuk dengan sebatang kayu. Setelah sedar dari pengsan, Rabiah melihat tiga orang lelaki dan beberapa tahanan bersamanya. Rabiah tersenyum. Dia merasa Allah sedang menguji keteguhan cintanya dan janji manisnya untuk setia di jalan Ilahi. Tanpa Rabiah sedar, senyumannya menjadi perhatian salah seorang menjahat itu. Lalu ditegur penjahat itu. Rabiah hanya tersenyum dan menasihati lelaki itu agar bertaubat dan memilih jalan yang lebih baik. Teguhnya hati seorang hamba. Walau diuji, namun tidak lokek untuk dirinya mengajak hamba lain bersama mentoati Pencipta. Tiada sedikit pun kekesalan terbit di hati atas musibah yang menimpa dirinya. Keselamatannya tidak pernah dia ragui kerna Allah bersamanya.
Oleh kerna tubuhnya kurus melidi, Rabiah hanya mampu dijual dengan harga yang rendah. Dirinya hanya mengikut arus ta’dir yang terlebih dahulu tercipta buatnya di Luh Mahfuz sebelum dirinya turun ke dunia lagi. Senyumannya tidak pernah lekang di bibirnya. Namun disebalik senyuman itu, hatinya gugup memikirkan kerisauan kakaknya terhadap diri Rabiah. Rabiah berdoa agar Allah memberikan ketenteraman buat kakak-kakaknya.
Setelah Rabiah dibeli dengan harga enam dirham, hidupnya kini berubah menjadi seorang juwairiah. Namun, seperti sangkaannya, menjadi hamba bukan suatu yang indah. Dia bukan sahaja menjadi hamba kepada Ilahi, namun tika detik ini dia menjadi hamba kepada manusia. Walau bagaimanapun, Rabiah yakin, Allah yang menta’dirkan dirinya di dalam situasi itu. Sungguh! Tiada kekesalan atau khilaf di atas ta’dirNya. Menjadi hamba kepada tuan yang fakir iman dan akhlaknya begitu menguji dan menjadikan Rabiah bukan sekadar hamba yang toat, tapi sabar dan tabah. Menciptakan keperibadian yang lebih tinggi dan mulia. Walau kesulitan dan kesakitan yang dirasai, namun dia tahu, cinta Allah pasti ada buatnya. Rabiah bagai mendengar pujukkan Ilahi memohon dirinya bersabar, kerna kesusahan itu pasti lenyap bila Allah memberikan ganjaran yang lebih baik. Dia seakan sedang menikmati cinta Agung Sang Ilahi.
Dalam diseksa oleh tuanya, Rabiah masih sabar dan kemabukan cinta buat Sang Ilahi semakin terserlah. Semakin diuji semakin kuat keyakinan kepada Sang Ilahi. Sehingga Rabiah mampu menciptakan syair indah. Begitu mendalam cintanya buat Sang Pencinta Agung. Walau kemerdekaannya diragut namun dia percaya Allah sedang memerhatikannya. Rabiah tidak pernah berasa keseorangan. Bahkan dia seakan merasa Allah itu semakin hampir dengannya. Segala pengorbanannya untuk cinta Agung itu dirasa amat berbaloi.
Dari satu musibah ke satu musibah yang Rabiah lalui. Kini, Rabiah hampir menjadi mangsa perkosa seorang lelaki sewaktu dirinya pulang dari pasar. Namun, Allah tidak pernah mengabaikan hamba yang telah mengabdikan diri kepadaNya. Allah menghantarkan segerombolan penduduk untuk membantu Rabiah. Setelah perbincangan berlangsung, Rabiah memaafkan lelaki itu dan dia mendoakan agar Allah memberikan hidayah doa kepada lelaki itu. Sungguh pekertinya mulia. Walau dilayan buruk, namun tiada balasan atau dendam yang dihamparkan. Bahkan peluang untuk lelaki itu bertaubat.
Setiap lembaran kehidupan dan kesusahan yang dihadapi insan bernama Rabiah, pasti dia mencari kekuatan dengan peristiwa-peristiwa hidup Rasulullah. Kerna itulah idolanya. Setiap sudut dan ceruk ujian yang melandanya menjadi saksi bisu. Allah Maha Melihat. Pengorbanan seorang hamba. Kesetiaan seorang hamba. Ketoatan seorang hamba. Dalam syahdu tangisan meratapi belas ehsan Ilahi.
Antara bait-bait doa Rasulullah yang menjadi ingatan dan sering bermain di mulut Rabiah:
“Wahai Tuhanku, selagi mana murkaMu tiada pada diriku, maka tidak kupeduli segala ujian dan derita ini kerna kelak aku tahu pertolongan lebih luas lagi untukku. Aku bernaung di bawah Nur daripadaMu yang bersinar terang menyinari tujuh petala langit dan sisi yang gelap. Aku memohon perlindungan daripada murka dan benciMu kepada diriku, namun Engkaulah yang selayaknya murka, dan padaku tiada daya serta upaya bahkan tiada jua kekuatan melainkan ihsan daripadamu”
Terkadang harus kita ingatkan, hidup ini tidak semestinya bahagia dengan kehadiran perkara yang kita sukai. Namun derita itu juga bahgia. Kerna dengan derita, kita semakin erat dan dekat dengan Allah. Itulah hikmah kita diuji. Allah ingin kita dekat dan bersamaNya. Jangan hanya mensyukuri kebahagiaan yang Dia kurniakan, namun hargailah setiap yang Dia datangkan kepada kita. Pasti ada tarbiah yang hendak Dia berikan kepada kita. Sungguh! Menjadi hamba itu penuh dengan kekurangan. Allah itu pelengkap kita. Dan tiada tempat untuk kita memohon hanya padaNya.
Dalam keangkuhan dan keegoan tuan Rabiah, Allah telah meletakkan satu titik keinsafan dalam hati dua jiwa itu. Dengan membuka sedikit ruang hati sepasang suami isteri itu, mereka akhirnya terbuka minda dan hati tatkala melihat kesetiaan Rabiah kepada mereka. Dan mereka terkesan bila mana melihat Rabiah begitu toat kepada Ilahi. Setiap pinjaman masa yang Rabiah minta dari mereka tidak lain hanyalah untuk bersolat. Rabiah tidak penah menggunakan alasan untuk merehatkan diri, tetapi meminta izin untuk mengerjakan solat. Hati kecil mereka diketuk dengan hidayahNya. Allah telah meletakkan suatu perasaan serba salah dan tidak tenang yang bersarang dalam diri dan fikiran mereka. Mereka berasa amat kesal dengan apa yang telah mereka perlakukan kepada Rabiah dan sampai satu malam, kekesalan itu semakin menebal.
Di satu malam yang hening, tuan Rabiah tidak dapat melelapkan matanya. Dia berasa hatinya tidak tenang. Dan perasaannya membuak-buak untuk memohon kemaafan kepada hambanya. Kuat hatinya menyatakan Rabiah itu wali Allah. Sesungguhnya wali itu diterjemahkan sebagai hamba Allah yang rapat dan dekat dengan Allah tanpa mengira jantina. Makam sorang wali itu adalah suatu anugerah Allah kepada hambaNya yang terpilih sahaja.
Malam itu, tuan Rabiah nekad untuk melihatnya di bilik. Setelah kedengaran suatu suara yang sayup dari bilik mereka, si suami menghampiri dekat ke bilik Rabiah. Alangkah terkejutnya dia tatkala melihat Rabiah yang sedang bertahajud di hamparan sejadah sambil disulami dengan esakkan tangisan syahdu seorang hamba yang sedang memendam kerinduan buat Ilahi. MasyaAllah begitu indah kenikmatan cinta yang Rabiah lalui. Tidak sekadar itu, si suami itu mendengar bait-bait doa yang terucap oleh Rabiah untuk memohon agar dibebaskannya sebagai hamba manusia kerna berkobar dirinya untuk kembali bertafakur dan menghambakan diri kepada Ilahi. Rindunya pada pengabdian yang sejati kian memuncak. Terlihat dirinya semakin lemah. Rindunya untuk Ilahi semakin tebal.
Setelah melihat peristiwa di bilik Rabiah, si suami menceritakan kepada isterinya. Lalu dirinya meritih mengeluh dengan penyesalan yang menggunung. Dia merasa amat kesal dan bersalah kerna meragut kebebasan Rabiah untuk menghambakan dirinya kepada Ilahi. Dia juga berasa amat takut tatkala bila melihat suatu cahaya yang terang menerangi bilik Rabiah. Cahaya itu seakan menghalangnya untuk mendekati Rabiah yang sedang bermadu kasih dengan Kekasih Agung. Benarlah apa yang dia rasakan, sungguh Rabiah seorang Wali Allah. Dan berdosanya dia yang telah meragut kebebasan Rabiah untuk beribadah kepada Allah.
Oleh kerana terbitnya kekesalan yang menebal, dan rasa serba salah di atas kezaliman yang mereka lakukan kepada Rabiah, setelah 10 tahun Rabiah menjadi hamba mereka, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memerdekakan Rabiah. Gembira sekali Rabiah tika itu. Tidak sabar untuk dia mengadu pada Pencinta Agung.  Allah memakbulkan keinginannya. Terbit sinar kebahgiaan di wajahnya. Sungguh! Allah itu Maha Mengetahui. Dia yang memegang hati hambaNya dan bila-bila masa Dia boleh membolak balik kan hati hamba-hambaNya jika Dia mengkehendakkinya.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Begitu lah keadaan yang menipa Rabiah. Hatinya berbunga mekar bila mendapatkan kemerdekaan yang selama ini dia impikan. Hari itu bagai indah buatnya. Bahkan seisi alam juga bersinar bagai merasai dan meraikan kemerdekaan Wali Allah ini. Sungguh! Jika Allah meredhakan kita, pasti seisi alam juga mendoakan kebaikan untuk kita, tetapi jika kita membuat Allah murka maka seisi alam jua akan murka kepada kita. Ketahuilah kita yang menentukan kehidupan dan arah hidup kita. Jika kehinaan yang kita pilih, seisi alam akan menghina kita, namun jika keredhaan Allah yang dituju, seisi alam juga akan meredhakan kita.
Alam ini lebih mulia dari kita. Jika kita perhatikan dengan mata kasar, mereka hanya ombak yang tidak berhenti membadai pantai, kicauan burung yang dirasa kebingitan, kokokan ayam dirasa bagai gangguan, tanah yang hina dan seisi alam tiada guna pada amatan mata kasar. Tapi ketahuilah segala suara alam itu, burung-burung, ayam, bunyian ombak, semuanya sedang memuji Allah, namun kita sendiri kita mengetahui bahasa alam mereka. Jadi, siapa yang lebih hina? Kita atau alam? Sedang kita hamba yang dijadikan sebagai khalifah. Namun, khalifah yang telah menzalimi diri dan seisi alam semesta?? Tidakkah kita malu akan diri dan kejahilan kita?
Seisi alam memuji Allah. Namun kita?? Berapa saat yang kita peruntukkan dalam memujiNya? Sedang dunia dan waktu hanya menjadi hamba buat dunia? Mari kita berfikir sejenak, apakah kita antara hamba yang membesarkan keaiban diri sendiri atau kita hamba yang mencuba untuk memperbaiki keaiban diri? Tututlah seberapa banyak doa serta kemaafan atas keterlanjuran kita. Kecintaan, kasih sayang? Di mana arah yang kita bawakan? Untuk dunia dan hamba atau Ilahi??
BERSAMBUNG....

Saturday, February 28, 2015

Rabiatul Adawiyah - ujian wali Allah (part 2)



Mendengarkan khabar itu, isteri Ismail tersenyum lalu gugur mutiara jernih dari matanya. Senyuman kebahagiaan bila mendapatkan khabar, bayi yang dulunya berada di dalam rahim itu merupakan insan agung yang mendapat keistimewaan dari Ilahi. Sungguhnya disebalik kedhoifan hidup mereka, rahmat Allah begitu besar dari segalanya. Tatkala manusia disekeliling tidak mempedulikan mereka, namun rahmat dan kasih sayang Allah itu sentiasa ada untuk hamba yang toat seperti mereka. Maka beruntunglah keluarga yang dibina di atas jalan kebenaran. Bahkan lebih mulia dari keluarga yang tidur di atas gunungan emas.
Tidak hanya itu, Rasulullah juga telah mengkhabarkan Ismail untuk menghadap penguasa Basrah, Sultan Isa Bajan. Kali ini, Ismail agak keberatan untuk bertemu dengan Sultan Isa bajan. Namun setelah didorong oleh isterinya, akhirnya Ismail menunaikan segala perintah baginda. Pagi itu, Ismail menghadap Sultan Isa Bajan. Seperti yang diminta, Ismail membawa surat bersamanya. Sungguh, orang yang memandang tinggi terhadap kebesaran Ilahi juga akan mendapat tempat yang tinggi di sisi Ilahi. Mimpi yang hadir banyak mengubah hidup Ismail sekeluarga. Kehidupan yang selama ini dirundung kesedihan dan keperitan, namun tatkala hadir permata rahmat, segalanya mulai berubah. Dengan surat itu, Sultan Isa diminta untuk menginfakkan sebanyak 400 dinar kepada Ismail di atas kesilapannya kerna telah meninggalkan solat sunnat 400 rakaat seperti kebiasaan yang dilakukannya pada setiap malam Jumaat.
Pengkhabaran itu, tidak sedikit menimbulkan kemarahan kepada Sultan Isa. Bahkan Sultan itu sangat bersyukur kerna dirinya ditegur oleh baginda S.A.W. Walau sedikit kesedihan di hatinya, kerna beliau tidak sempat lagi untuk bermimpikan Rasulullah S.A.W. dan kini mendapat pengkhabarkan seorang lelaki miskin mampu bermimpi dan bertemu dengan Rasulullah. Sultan Isa berasa kagum dengan Ismail dan menyatakn Ismail itu bukanlah orang sebarangan.  Kerna keistimewaannya, dia mampu bertemu dengan kekasih Allah. Sungguh, Allah telah menunjukkan kedudukan dan kemewahan yang kita milik di dunia ini bukanlah tiket untuk kita mendapat kedudukan tinggi di mata Allah. Hamba yang miskin, tetapi dia bersujud kepada Allah itu lebih mulia dari hamba yang kaya dan bersujud kepada Allah. Ini kerna, fitrah setiap kebaikan itu harus diraikan dengan rasa syukur kepada Ilahi, yakni dengan mengerjakan segala tangunggjawab kepadaNya. Namun, seorang hamba yang fakir di dunia, penuh dengan kesulitan hidup, namun masih setia di jalan Allah, itulah bukti kehambaan yang sejati. Walau tidak ditaburi kemewahan, namun masih kekal di jalan Allah. Tidak sedikit yang membuatnya berundur walau selangkah dari jalanNya.
Fitrah seorang hamba, kejadiannya bermula dengan usia sebagai seorang bayi, lalu diangkat darjat sebagai seorang kanak-kanak. Namun berbezanya Rabiah dengan kanak-kanak sebayanya, Rabiah bukanlah seorang kanak-kanak yang gemar dengan membuang masa untuk bermain. Hidupnya hanya mencari cinta dan redha Allah. Hatinya hanya dipenuhi dengan zikrullah dan rintihan sayup seorang hamba yang merindukan Pencipta. Di saat anak-anak kecil menagih kasih ibu bapa, Rabiah sibuk dengan tangisan merintih kasih Ilahi. Disaat anak-anak menagih makan-makan istimewa, Rabiah sibuk dengan pencatuan akan halal haram rezeki. Dia terlebih dahulu mengenal erti kehambaan sejati. Hari-harinya sibuk menghafal kalam-kalam suci Allah dan hadis-hadis. Sewaktu usianya 10tahun, Rabiah sudah menghafal 30 juzuk al-Quran. Ketajaman akal dan mindanya terserlah. Kematangannya juga terserlah. Dari bait-bait bicaranya, atur langkahnya, buah-buah fikiran yang dilontarkan. Sangat mengagumkan.
Bicara yang hanya diatur jika memberikan kebaikan bagi insan yang mendengarnya. Tajam akal fikiran memikirkan keagungan Ilahi dan kebesaran Ilahi. Sentiasa memikirkan pandangan Ilahi. Segala yang keluar dari bibirnya hanyalah dengan memuji Ilahi. Indah sirahnya. Hari-hari yang dilaluinya tidak sesaat ditangisi dan difikirkan dunia yang fana. Tapi akhirat dan syurga yang bakal diraihnya. Hari-harinya bagai bulan madu bersama kekasih Agung, percintaan yang manis bersama yang Teragung itulah lazat kenikmatan yang dirasainya. Sungguh! Segala anggota yang dianugerahkan, semuanya diinfakkan untuk beribadah kepada Ilahi. Tidak satu pun nikmatNya dibazirkan atau disalahgunakan oleh Rabiah. Sifat kehambaan yang mendalam sangat membantunya menjadi hamba yang mulia.
Kerna kasih sayangnya begitu mendalam kepada Ilahi, ayahnya membina sebuah pondok buat puteri bongsunya. Khusus untuk Sang Puteri beribadah. Pondok kecil itu menjadi singgahsana indah untuknya bermadu asmara dengan Ilahi. Kelunakkan tangisannya di hamparan sejadah menjadi saat yang indah buatnya. Menangisi kerinduaan kepada Sang Agung yang mendera batinnya. Itulah kecintaannya. Demi Tuhan! Kisah dan sirah hidupnya menjadi contoh kepada kita membawa ikutan buat kita umat akhir zaman yang semakin luput dan rapuh iman di hati. Ianya memperlihatkan kepada kita, betapa agungnya pengabdian seorang hamba kepada Sang Mulia. 


“ Kata orang masalah itu membuatkan kita matang. Dan sesungguhnya tidak dikira beriman seseorang hamba selagi tidak ditimpakan keatasnya ujian bagi mengukur keimanannya kepada Ilahi”.
Kerna itu, fitrah itu, wali Allah yang mulia ini juga diuji. Bahkan lebih hebat ujiannya tatkala seorang remaja yang memerlukan ibu bapa untuk membimbingnya mencari arah hidup, kini sudah kembali kepada Ilahi. Di manakah kebergantungan seorang anak perempuan? Yang selama ini Ismail menjadi benteng dan pengemudi kapal. Namun sekarang, tiada lagi badang yang mampu menjaga mereka dan melindungi keselamatan mereka. Tiada lagi seorang ibu yang menjadi pendamping dan suri teladan buat anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Namun keteguhan hati menyakini Allah itu ada sebagai penjaga, Allah itu ada sebagai pelindung dan Allah itu ada sebagai Maha Memberi Petujuk. Segalanya diserahkan kepada Ilahi.
Saat hilang tempat bergantung, keempat permata indah ini dilanda masalah. Punca rezeki yang selama ini di cari oleh Ismail kini telah bertitik nokhtah. Keadaan kota Basrah yang ditimpa kemarau teruk membuatkan mereka sukar mencari pekerjaan. Hasil tanaman luput bagai nyawa-nyawa ikan. Di saat itu, Rabiah bersama kakak-kakaknya keluar mencari rezeki. Namun nasib tidak menyebelahi mereka. Kepulangan mereka ke pondok kecil itu dengan hati yang sedikit kecewa. Namun bibir mereka tidak pernah berhenti dari memuji Allah. Nikmat dirasa bila iman diuji. Kerna Allah Maha Mengetahui. Sesungguhnya, Iman dan cinta mereka pada Ilahi sedang diuji. Dan mereka sabar melaluinya.
Ujian, kesukaran dalam menjalani kehidupan tidak sedikit pun mematahkan semangat mujahidah ini dan kakak-kakaknya meneruskan kembara. Tidak terlintas untuk mengadaikan maruah bagi menjalani kehidupan di bumi fana. Waimma cerca atau dihina, cinta Ilahi menutupi segala dusta dan nista dunia. Sungguh, kecintaan abadi dalam tubuh dan sanubari 4 beradik ini menjadikan mereka hamba yang setia. Ujian itu kelazatan dalam rintihan, kesukaran itu kemanisan dalam kedekatan diri mereka kepada Ilahi. Dengan kesusahan dan ujian, hambaNya akan mendekatiNya dan semakin erat denganNya. Itu hikmah yang mereka lihat. Biar mereka hina di dunia, asal akhirat mereka raih syurga. Itulah kenikmatan sejati.
BERSAMBUNG..........................