muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Thursday, February 23, 2012

REMAJA BERAKAL FOKUS BELAJAR


Merebut Hati
            Meniti usia remaja, terlalu banyak tarikan-tarikan di sekiling yang mahu memenangi fokus hati. Cinta, hiburan, gejala sosial, rakan sebaya, kerja sambilan, menghabiskan masa dan banyak lagi pesaing-pesaing yang cuba merebut sekeping hati remaja. Amanah belajar yang terpikul di bahu remaja sering ditewaskan oleh pesaing-pesaing itu.
            Remaja berakal perlu sentiasa peka terhadap persiapan akal, rohani dan jasmaninya. Belajar adalah proses mempersiapkan akal. Ia suatu proses seumur hidup. Ia sepatutnya menjadi prioriti seseorang untuk mengisi alam remajanya dengan belajar, belajar dan terus belajar. Penting sangatkah belajar untuk mempersiapkan akal? Sudah tentu! Kesedaran ini akan memudahkan hati memenangkan apa yang lebih penting dan utama dalam persaingan tarikan-tarikan tadi merebut fokus hati.
            Para cerdik pandai berkata, “Barangsiapa yang akalnya bukan merupakan sesuatu yang dominan, maka dia akan mati dan binasa kerana sesuatu  yang paling dicintainya.”
Allah Sebagai Akal
            Berkata Aisyah r.ha, “Beruntunglah orang yang menjadikan Allah sebagai akalnya.” Remaja berakal akan sentiasa memikirkan apa yang Allah inginkan sebelum melakukan sesuatu. Nilaian Allah menjadi kayu ukur dan pemutus. Tiada nilaian lain yang lebih penting daripada nilaian-Nya.
Baginya, yang baik itu ialah apa yang Allah katakan baik, dan yang buruk itu ialah apa yang Allah katakan buruk. Akal dan pemikirannya bebas berfikir serta dipandu oleh petunjuk wahyu. Tidak sebagaimana remaja di Barat, mereka berfikir sebebas-bebasnya namun sayang tanpa panduan dan tanpa petunjuk. Maka natijahnya, akal dimanfaatkan untuk memajukan perkara maksiat. 
Umar al-Khattab berkata, “Orang berakal itu bukan setakat mampu membezakan yang baik dari yang buruk, tetapi mampu mengetahui mana yang lebih baik daripada dua keburukan.”
 Al-Hasan pula berkata, “Agama seseorang tidak menjadi sempurna kecuali dengan kesempurnaan akalnya. Allah tidak memberikan akal kepada seseorang melainkan suatu hari Dia akan menyelamatannya dengan akal itu.”
Akal Melelahkan Syaitan
            Wahab bin Munabbih berkata, “Syaitan merasa paling kesulitan jika menghadapi orang mukmin yang berakal. Dia boleh menarik hidung seratus orang bodoh, mengarahkan mereka malah menunggang di atas bahu mereka, lalu membawa mereka ke manapun yang dia kehendaki. Namun, dia benar-benar merasa kesulitan berhadapan dengan orang mukmin yang berakal dan memujuknya, sekalipun untuk mendapatkan sedikit apa yang dihajatkan daripadanya.”
            Remaja berakal sentiasa menyebabkan syaitan dalam kelelahan dan kesulitan. Syaitan yang kelelahan kadang kala merelakan remaja melakukan kebaikan begitu sahaja tanpa digoda. Lantaran kelelahan itu, si syaitan terpaksa beralih arah menggoda orang-orang bodoh.
            Berkata Wahab bin Munabbih lagi, “Meruntuhkan gunung sebongkah demi sebongkah batunya, lebih mudah bagi syaitan daripada memujuk orang mukmin yang berakal. Jika dia benar-benar tidak mampu menghadapinya, maka dia beralih kepada orang-orang bodoh lalu menawannya. Syaitan boleh memimpinnya hingga menjerumuskannya  kepada pelbagai macam kehinaan yang dirasakan di dunia, seperti mendapat hukuman rejam, dipotong tangannya, disalib dan kehinaan-kehinaan yang lain.”
            Remaja berakal sudah tentu tidak mahu terperangkap dalam kehinaan ditangkap khalwat, dibicarakan kerana masalah sosial, ditahan kerana merempit, didakwa kerana membuang bayi luar nikah, dihantar ke sekolah juavana, dilatih di pusat-pusat pemulihan akhlak dan sebagainya. Kehinaan ini hanya layak bagi orang-orang bodoh yang sering memenangkan nafsunya. Mereka sering memilih jalan maksiat dengan alasan, “Saya tak kuat,” tanpa berusaha menggunakan akal untuk menguatkan diri dengan ilmu dan mujahadah.
            Orang yang tidak menggunakan akal bukan sahaja mendapat kehinaan di dunia tetapi turut mendapat kehinaan di akhirat. Amat malang kerana kehinaan di akhirat itu lebih menyakitkan dan boleh bersifat kekal selama-lamanya. Wahab bin Munabbih meneruskan katanya,
            “Sementara di akhirat dia akan mendapat neraka dan aib yang sangat menghinakan. Boleh jadi dua orang sama dalam kebaikannya, namun ada perbezaan yang memisahkan kedua-duannya seperti pemisahan antara timur dan barat kerana akalnya. Allah tidak disembah dengan sesuatu yang lebih baik daripada dengan akal.”
Remaja Berakal Tidak Mahu Hipokrit
Seringkali akal ditipu,
            “Saya tidak mahu buat begini (merujuk apa-apa perbuatan baik) kerana saya tidak mahu menjadi hipokrit,” kata remaja.
            Kata-kata seumpama ini mencerminkan bahawa remaja itu sedang melabelkan dirinya yang sebenar adalah seseorang yang buruk, berdosa dan sentiasa di takuk lama.
Sedarkah kita, kita dilahirkan dalam keadaan fitrah sebagaimana yang dimaklumkan oleh hadis sahih riwayat Bukhari, no. 1296. Fitrah di sini bermaksud Islam. Islam itu bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Ya, kita dilahirkan dalam keadaan kita adalah seorang hamba yang perlu taat dan patuh kepada-Nya dengan penyerahan diri yang total.
Maka, kita sedang menjadi diri sendiri ketika kita sedang melakukan kebaikan. Kita sedang hipokit dengan Allah ketika kita sedang melakukan kejahatan. Inilah hakikatnya diri kita yang sebenar, fitrah, suci dan bersih. Remaja yang berakal akan segera menukar paradigma agar tidak tertipu lagi.
Yusuf bin Asbath berkata, “Akal adalah pelita yang tidak nampak, hiasan yang terzahir, pengatur badan dan pemantau urusan hamba. Kehidupan tidak akan membaik tanpa akal dan urusan tidak akan berjalan normal kecuali berdasarkan akal.”
Remaja Berakal Segera Bertaubat
Remaja berakal tidak bertangguh untuk bertaubat jika dia melakukan kesalahan.  Dia tidak bertangguh untuk melakukan kebaikan. Tidak bertangguh untuk melakukan perubahan yang lebih positif. Kenapa? Kerana dia sedar dia dilahirkan untuk menjadi yang terbaik.
            Muaz bin Jabal berkata, “Andaikata orang yang berakal itu mempunyai dosa pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pasir, maka akhirnya dia cenderung masih boleh selamat daripada dosa-dosa itu. Andaikata orang yang bodoh itu mempunyai kebaikan dan kebajikan pada pagi dan petang hari sebanyak bilangan pepasir, maka akhirnya dia cenderung tidak mampu mempertahankannya meskipun hanya seberat biji sawi.”
            Ada yang bertanya, “Bagaimana ia boleh terjadi?”
            Muaz menjawab, “Sesungguhnya jika orang yang berakal itu tergelincir, maka dia segera menyedarinya dengan cara bertaubat dan menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya. Tetapi orang bodoh itu ibarat orang yang membangun dan langsung merobohkannya. Kerana kebodohannya, dia terlalu mudah melakukan apa yang boleh merosakkan amal solehnya.”
Fokuslah Belajar Agar Kau Jadi Remaja Berakal.
            Remaja berakal tidak akan mempersiakan masa mudanya. Digunakan masa mudanya sebaik-baiknya untuk menimba ilmu. Mempersiapkan ketajaman akalnya. Dalam masa yang sama tidak lupa menyeimbangkan diri dengan persiapan fizikal dan rohani. Inilah remaja terbaik di antara yang terbaik. Ayuh, fokuslah belajar!


No comments: