muqaddimah

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa:28)

flower

Tuesday, March 1, 2011

ISLAM ITU MUDAH DAN SEDERHANA

Ucapan Syeikh Al-Azhar

Di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu
Pada 19 Ogos 1998

Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa bahasa Arab yang kaya dengan gaya bahasa dan perkataan pun masih tidak cukup bagi saya untuk luahkan rasa terlalu gembira. Kegembiraan dan kebahagiaan itu adalah kerana kita tidak berkumpul kerana manfaat individu tertentu malahan kita berkumpul atas dasar mentaati Allah S.W.T. dan juga untuk berkhidmat kepada agama Islam dan umatnya.
Rasulullah s.a.w. telah memberi berbagai-bagai khabar gembira kepada mereka yang berkumpul untuk mentaati Allah Taala. Antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w.:
'Sesungguhnya di kalangan hamba Allah ada segolongan manusia yang bukanlah merupakan para anbiya’ dan bukan juga dari para syuhada’ kerana kedudukan mereka di sisi
Allah' Maka seorang telah berkata: 'Beritahulah kami tentang sifat-sifat mereka wahai Rasulullah'. Lalu Rasulullah berkata: 'Mereka merupakan manusia yang berkumpul atas dasar mentaati Allah bukan kerana hubungan kekeluargaan antara mereka. Demi Allah, wajah-wajah mereka umpama cahaya dan mereka berada dalam keadaan bercahaya. Mereka tidak mengalami ketakutan dan mereka tidak bersedih ketika manusia lain bersedih'.

Kemudian Rasulullah membaca firman Allah yang bermaksud:
'Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar'.(Surah Yunus: 62-64)

Alangkah baiknya dan tingginya nilai majlis ilmu. Sesungguhnya ia merupakan satu majlis yang dinaungi oleh malaikat rahmat dan merupakan majlis yang mengandungi zikir kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud:
'(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan 'zikrullah'. Ketahuilah! Dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal salih, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya'. (Surah al-Rad: 28-29)

Majlis ilmu merupakan majlis yang menyamai puluhan majlis yang lain. Ia merupakan majlis yang paling bernilai dan yang paling mendatangkan manfaat kepada manusia. Sempena dengan ini, saya teringat dengan wasiat yang telah diberikan oleh Saidina Ali k.w.j. kepada salah seorang muridnya yang bernama Umai ibn Ziyad. Saidina Ali k.w.j. sebagaimana yang kita semua tahu telah diberikan oleh Allah ilmu yang begitu luas. Umai ibn Ziyad yang merupakan salah seorang anak muridnya berkata: Saidina Ali telah memegang tanganku dan menarikku ke tempat duduknya kemudian beliau telah berkata kepadaku: 'Wahai Umai! Sesungguhnya hati ini ada beberapa ruang, maka ruang yang terbaik ialah ruang yang paling besar.

Saya ingin mengatakan di sini bahawa sesungguhnya suasana dan keadaan umat Islam akan tetap kekal dan berterusan dalam keadaan baik, di mana ia akan terus memiliki kekuatan dan akan terus membangun. Ia berkembang maju dan berterusan dalam keadaan aman damai, tenang dan sejahtera selagimana umat Islam menunaikan tanggungjawab dan peranan yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi setiap sesuatu itu sebab dan faktor yang boleh membawa kepada berlakunya sesuatu peristiwa tersebut. Ini merupakan sunnah Allah. Sunnah Allah yang telah ditetapkan ke atas makhluk-Nya ialah Dia tidak akan mensia-siakan balasan bagi orang yang melakukan sesuatu kerja. Sunnah Allah ke atas makhluk-Nya telah dijelaskan oleh Allah dalam beberapa ayat al-Qur’an. Antaranya ialah
'Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya!). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya!)'.(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Sunnah Allah juga telah dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
'Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan'.(Surah al-Nahl: 97)

Sesiapa yang bersungguh-sungguh akan memperoleh hasil kesungguhannya. Sesiapa yang bercucuk tanam akan menuai hasilnya. Dunia ini telah dijadikan oleh Allah untuk orang yang rajin bekerja dan berusaha. Ia telah dijadikan oleh Allah untuk orang-orang yang bersungguh-sungguh. Ia dijadikan bagi mereka yang menjalankan peranan mereka dalam kehidupan dengan amanah, ikhlas, taat dan mulia menerusi berpenat lelah. Ini kerana untuk menghasilkan sesuatu hasil yang baik dan mencapai natijah yang bagus, ia tidak akan berlaku dengan sebegitu mudah. Orang yang ingin mencapai kejayaan tanpa berusaha dan berkorban jarang sekali dapat mencapai kejayaan tersebut. Kejayaan itu mesti diusahakan dengan pengorbanan dan kegigihan.
Setiap manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu apabila tidak mengerah tenaganya untuk mengembangkan, membangunkan dan memperbaiki lagi kepakaran tersebut serta menimba ilmu daripada orang lain maka akan mengalami kerugian. Ini kerana setiap manusia telah dijadikan oleh Allah dengan kelebihan dan keupayaan tertentu. Setiap manusia sentiasa perlu kepada ilmu yang dimiliki oleh orang lain. Salah seorang pujangga ada berkata dengan kata-kata yang indah dan menarik iaitu:
'Apabila seseorang itu alim dalam satu bidang ilmu, dia masih menjadi penuntut kepada orang lain dalam bidang ilmu yang lain'.

Ini merupakan ungkapan orang yang bijak pandai. Orang yang mempunyai akal dan bijak sentiasa mengambil manfaat dan menggunakan kelebihan yang ada pada orang lain. Tidak ada halangan sama ada dari segi akal atau syara’ untuk berbuat demikian. Syeikh al-Azhar menjadi anak murid kepada seorang doktor, penuntut kepada seorang jurutera dan menjadi pelajar kepada pakar-pakar dalam bidang-bidang yang tidak menjadi kepakaran Syeikh al-Azhar. Demikian juga tiada halangan seorang doktor menjadi murid kepada Syeikh al-Azhar dalam bidang ilmu kepakarannya dan jurutera menjadi penuntut kepada Syeikh al-Azhar dalam bidang kepakarannya. Semua ini kerana apa? Kerana Islam merupakan satu agama tolong menolong.
Seorang manusia itu walau tinggi mana sekalipun ilmunya, dalam mana sekalipun kefahaman, besar mana sekalipun kebesarannya, gagah mana sekali pun kekuasaannya dan banyak mana sekalipun hartanya, dia sentiasa dan berterusan memerlukan bantuan atau pertolongan orang lain. Al-Qur’an menjelaskan makna keperluan manusia kepada manusia yang lain ini dalam banyak ayat. Antaranya firman Allah yang bermaksud:
Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: '(Kalaulah al-Qur’an ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya al-Qur’an ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?' (Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan); Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi

Maksud ayat: 'Kami bahagi-bahagikan tugas mereka dalam kehidupan dunia'
Iaitu supaya setiap orang dari kalangan mereka dipergunakan untuk memberi khidmat kepada orang lain. Saya dijadikan untuk memberi khidmat kepada anda dan anda pula dijadikan untuk memberi khidmat kepada saya. Setiap individu dari kalangan umat bangsa ini dijadikan untuk memberi khidmat kepada orang lain dan semua umat bangsa dijadikan untuk saling memberi khidmat kepada sesama umat yang ada, melalui jalan pertanian, perusahaan, melalui jalan ilmu dan sebagainya. Dengan ini, satu umat akan sentiasa berinteraksi dan berhubung serta bersatupadu antara satu sama lain dalam satu masa. Sekiranya tolong menolong itu dituntut pada zaman dahulu maka pada zaman sekarang umat Islam di seluruh pelosok dunia sama ada di Barat atau di Timur, di Utara atau Selatan adalah amat sangat-sangat diperlukan. ialah seorang berperanan sebagai seorang ahli feqah seorang lagi sebagai ahli bahasa, seorang yang lain sebagai doktor perubatan, seorang lagi sebagai jurutera, seorang yang lain sebagai petani, seorang lagi sebagai pengusaha perusahaan industri dan seterusnya. Orang ini kaya dan orang ini miskin kerana apa? Ayat al-Qur’an ini diteruskan dengan jumlah ta’liliah (menyatakan sebab) iaitu supaya sebahagian dari mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain.

Ini kerana pada masa kini, perkara yang berlaku jauh di Barat diketahui oleh umat yang tinggal di Timur dalam tempoh beberapa minit sahaja atau boleh jadi kurang dari itu. Begitu juga perkara yang berlaku di Selatan dapat diketahui oleh umat yang tinggal di Utara dalam tempoh beberapa minit atau kurang daripada itu. Sebagaimana yang diperkatakan oleh manusia zaman kini, dunia telah menjadi seolah-olah satu kampung yang kecil.

Tolong menolong dan kerjasama merupakan asas kejayaan. Oleh itu, kita dapati al-Qur’an menggesa umat Islam supaya bekerjasama dan tolong menolong sesama mereka. Selagimana kerjasama dan tolong menolong itu dilakukan untuk mengerjakan perkara-perkara yang baik dan menghasilkan taqwa kepada Allah nescaya natijah daripada kerjasama tersebut pasti baik. Itulah gambaran kehidupan umat Islam zaman kini. Kehidupan umat Islam masa kini yang berkembang pesat, maju dan membangun dapat menguasai umat yang ramai sehingga berupaya menjadikan mereka perlu kembali kepada Islam itu sendiri. Keadaan ini menjadikan agama Islam dan kalimah tauhid mendapat tempat yang tinggi dan menguasai umat yang lain. Umat yang bukan Islam menjadi rendah dan tunduk kepada Islam. Ini semua terhasil selagimana berlaku kerja

Begitu juga semua ini akan berhasil selagimana tolong menolong dan kerjasama itu tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah-megah dan berlagak sombong. Semua kerjasama dan tolong menolong yang dilakukan adalah bertujuan untuk memberi khidmat kepada kebenaran, menghasilkan kemuliaan dan memberi khidmat kepada umat Islam secara umum. Selagimana kerjasama ini dilakukan sedemikian rupa dengan penuh ikhlas kepada Allah, maka Allah tidak akan mensia-siakan usaha tersebut.

Sekiranya anda membaca al-Qur’an maka anda akan dapati ia telah membawakan kepada kita beberapa contoh kerjasama. Al-Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah s.a.w. malahan rasul-rasul dari kalangan Ulul ‘Azmi, sekalipun mereka bersifat maksum dan Allah telah memberi berita gembira bahawa kesudahan kemenangan adalah berpihak kepada mereka, namun kita dapati Nabi Musa a.s. ketikamana Allah memerintahkannya pergi kepada Firaun kerana dia telah melampaui batas, kita lihat Nabi Musa sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qur’an dalam surah Taha dan surah-surah lain telah memohon kepada Penciptanya, sedangkan Nabi Musa merupakan seorang yang kuat lagi gagah sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan yang dijumpai oleh Nabi Musa kepada bapanya:
'Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah'.(Surah al-Qasas: 26)

Nabi yang gagah berani dan amanah ini iaitu Nabi Musa a.s. telah mengadap dan memohon daripada Allah dengan berkata:
Nabi Musa berdoa dengan berkata: 'Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; 'Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; 'Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, 'Supaya mereka faham perkataanku; 'Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. 'Iaitu Harun, saudaraku; 'Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, 'Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, 'Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu, 'Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu; 'Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami'. (Surah Taha: 25-35)

Oleh kerana perkataan-perkataan ini telah keluar dari lidah yang bersih lagi benar, maka Allah telah memperkenankan doa Nabi Musa. Allah berfirman yang bermaksud:
Allah berfirman: 'Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!'.(Surah Taha: 36)

Kita dapati juga di dalam ayat yang lain, al-Qur’an menceritakan kepada kita dengan gaya bahasa yang cantik, indah, unggul dan dapat mempengaruhi orang yang mendengarnya. Firman Allah yang bermaksud:
'Dan saudaraku (Harun), ia lebih petah fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yan mengakui kebenaranku, sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku'.

Allah berfirman: 'Kami akan menguatkan tenaga dan daya usaha mu dengan saudaramu (Harun)'.(Surah al-Qasas : 34-35)

Maksud ayat ini ialah 'Kami akan memperkuatkan engkau dengan saudara engkau'.

Al-Qur’an membawakan kepada kita gambaran lain tentang kerjasama dan tolong menolong yang ikhlas lagi benar melalui lidah Zulkarnain yang merupakan seorang lelaki yang telah dianugerahkan oleh Allah dengan kekuatan, kekuasaan, kemegahan dan kemantapan kedudukan di atas muka bumi.
Al-Qur’an hendak menggambarkan kepada kita bagaimana kerjasama dan tolong menolong ini boleh membawa kepada kemajuan dan kebaikan umat-umat di atas muka bumi. Firman Allah yang bermaksud:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: 'Aku akan bacakan kepada kamu (wahi dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya'. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. (Surah al-Kahfi: 83-84)

Al-Qur’an seterusnya menceritakan kepada kita untuk menggambarkan bagaimana Allah telah memberi Zulkarnain nikmat-nikmat yang terlalu banyak menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: 'Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami)'.(Surah al-Kahfi: 93-94)

Iaitu 'Tidakkah engkau mahu Kami berikan ganjaran'. Di sini kita dapati Zulkarnain menjawab pertanyaan ini dengan berkata:
Ia menjawab: '(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh'.(Surah al-Kahfi: 95)

Ini merupakan kerjasama. Sekalipun Zulkarnain telah diberikan oleh Allah dengan kekuasaan, kerajaan dan kekuatan,
al-Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa walau bagaimana kuat dan maju sekalipun satu-satu umat dan walau bagaimana seseorang individu dianugerahkan dengan kekuatan, kedudukan dan kekayaan namun tetap tidak akan dapat lari dari bekerjasama dengan orang lain. Kerana apa? Kerana setiap insan dari kalangan kita sentiasa perlu kepada ilmu orang lain, perlu kepada perbincangan dengan orang lain, perlu kepada mengambil faedah dari usaha orang lain dan perlu untuk berkenalan dengan orang lain. Sebagaimana kata penyair: 'Aku menggunakan anda dan anda menggunakan aku'.

Dengan cara inilah umat akan hidup. Oleh itu, perkara pertama yang diberikan perhatian oleh Rasulullah s.a.w. sesama pengikut-pengikutnya ialah menyuruh mereka supaya bekerjasama dan tolong menolong. Kerana apa? Kerana kerjasama dan tolong menolong ini akan memperkuatkan sesama sendiri. Sabda baginda yang bermaksud:
'Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang, tolong menolong dan kemesraan sesama mereka adalah umpama satu badan di mana apabila satu anggota sakit, maka anggota lain pun turut mengalami kesusahan berjaga malam'.

Perkataan kerjasama ini merupakan perkataan umum yang merangkumi pelbagai bidang dengan membawa makna kebaikan. Ini kerana tatkala wujud iman yang benar, maka wujud makna persaudaraan, wujud perpaduan dan wujud semua sifat-sifat yang mulia. Ketikamana wujud kerjasama antara lelaki dan perempuan dan selagimana wujud kerjasama ini maka akan wujudlah semua kebaikan. Ini kerana lelaki tidak boleh lari dari bekerjasama dengan perempuan. Begitulah juga sebaliknya, perempuan tidak boleh lari dari bekerjasama dengan lelaki. Kedua-dua jenis manusia ini datang dari satu punca. Kita adalah sama sahaja antara lelaki dan perempuan dalam bidang-bidang tertentu. Kita lelaki dan perempuan adalah sama dari segi asal kejadian. Lelaki bukan dijadikan daripada emas dan perempuan pula bukan dijadikan daripada
'Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai'.

Iaitu daripada kedua-duanyalah berkembangnya keturunan manusia dari kalangan lelaki dan perempuan. Islam menegaskan persamaan antara lelaki dan perempuan dalam beberapa perkara. Persamaan dalam tanggungjawab dan kewajipan syara’. Sembahyang wajib ke atas lelaki dan wajib juga ke atas perempuan. Begitu juga dengan zakat, berpuasa di dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berupaya. Demikianlah juga memiliki dan mengamalkan nilai-nilai murni. Akhlak-akhlak mulia tidak dibahagi-bahagikan antara lelaki dan perempuan di mana akhlak-akhlak ini untuk lelaki dan akhlak-akhlak itu untuk perempuan. Akhlak-akhlak mulia bagi lelaki dan perempuan tidak dikhusus dan dibahagi-bahagikan secara berasingan. Bersikap benar adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan.
'Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya akan dipeliharaannya dari perkara buruk

Kemudian kita dapati di penghujung ayat ini Allah berfirman yang bermaksud:
'Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar'.(Surah al-Ahzab: 35)

Kita adalah sama dalam aspek yang berkaitan dengan akhlak yang mulia. Kita mempunyai persamaan dalam menuntut ilmu. Saya sendiri dapati dalam kolej yang mulia ini yang jelasnya bilangan pelajar perempuan mungkin lebih dari bilangan pelajar lelaki. Ketika saya melihat ini semua saya rasa sungguh gembira. Ini kerana tatkala perempuan memahami agama dan menuntut ilmu ia akan menghasilkan kebahagiaan bagi keluarganya dan ia akan membantu dan membahagiakan umatnya. Perempuan yang berilmu akan memberi kebahagiaan kepada masyarakat yang dia hidup di dalamnya. Keperluan kita memberikan pendidikan kepada perempuan tidak kurang dari keperluan kita memberi pendidikan kepada lelaki. Rasulullah s.a.w. yang merupakan ikutan kita menjadikan satu hari dari hari-hari yang dilaluinya khusus untuk mengajar
'Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas lelaki dan perempuan Islam'.

Kita adalah sama dalam perkara yang berkaitan dengan amal soleh. Al-Qur’an tidak mengatakan barangsiapa yang beramal soleh dari kalangan lelaki sahaja atau dari kalangan perempuan sahaja. Firman Allah yang bermaksud:
'Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan'.(Surah al-Nahl: 97)

Di dalam ayat yang lain Allah telah berfirman yang bermaksud:
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): 'Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain'.(Surah ali-Imran: 195)

Iaitu 'Lelaki datang dari perempuan dan perempuan datang dari lelaki'. Mereka adalah sama dalam perkara kemuliaan. Kemuliaan perempuan adalah sama dengan kemuliaan lelaki. Tidak ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam perkara yang berkaitan dengan kemuliaan manusia. Akan tetapi lelaki akan kekal sebagai lelaki sehingga berlakunya hari kiamat dan perempuan akan kekal sebagai perempuan hingga berlakunya hari kiamat. Di sana ada kaedah usul feqah mengatakan: 'Sifat yang wujud pada zat tidak akan berubah'.

Allah Maha Mengetahui di mana bagi menjadikan muka bumi ini berupaya dimakmurkan, maka Dia telah menjadikan manusia dari kalangan lelaki dan perempuan. Sekiranya hanya lelaki sahaja yang wujud di atas muka bumi ini nescaya ia akan pupus dalam tempoh tidak lebih dari seratus tahun. Begitu juga sekiranya hanya wujud perempuan sahaja di atas muka bumi ini nescaya dunia ini akan musnah, boleh jadi dalam tempoh kurang seratus tahun. Untuk memakmurkan dunia ini perlu wujud lelaki dan perempuan. Inilah makna firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
'Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)'.(Surah al-Dhariyat: 49)

Bersama semua ini Allah telah mewujudkan agama yang bersifat sederhana dan pertengahan. Bersama itu juga di sana ada lelaki dan perempuan. Allah memberikan kepada lelaki beberapa sifat khusus yang tidak diberikan kepada perempuan dan Allah berikan keistimewaan kepada perempuan yang tidak diberikan kepada lelaki. Keistimewaan-keistimewaan itu adalah berbagai-bagai. Mungkin kita dapati pada perempuan itu sifat kasih sayang, lemah lembut dan sebagainya yang boleh melembut dan melapangkan dada. Sebagaimana Allah memberikan kepada lelaki keistimewaan seperti sanggup dan berupaya menanggung kesusahan, kesulitan dan sebagainya supaya alam ini dapat dimakmurkan. Perkara ini merupakan suatu yang telah diberitahu oleh al-Qur’an dalam firman Allah yang bermaksud:
'Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnia-Nya'.(Surah al-Nisa’: 32)

Dengan wujudnya tolong menolong dan kerjasama antara lelaki dan perempuan dalam keadaan mengetahui kewajipan dan hak yang mereka miliki maka masyarakat ini akan sejahtera, harmoni dan semestinya meningkat maju. Maka kehidupan umat Islam masa kini dan realiti semasa mereka adalah berjalan di atas sunnah yang telah dijadikan oleh Allah di kalangan manusia. Semenjak wujudnya manusia pertama sehingga berlaku hari kiamat, sunnah ini selama-lamanya tidak akan berubah dan bertukar. Sesiapa yang berusaha dan bersungguh akan berjaya dan sesiapa yang bercucuk tanam akan dapat menuai hasilnya. Barangsiapa yang berjalan teguh di atas jalan yang lurus semestinya dia memperolehi kejayaan. Sesiapa yang mengulangkaji sudah pasti akan mendapat kejayaan.

Kehidupan dan realiti umat Islam masa kini bukanlah suatu yang berbeza dengan kehidupan umat yang terdahulu. Sekiranya umat Islam masa kini beristiqamah di atas jalan yang lurus, menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang telah ditetap dan diamanahkan oleh Allah Taala, berpegang teguh dengan semangat kerjasama dan tolong menolong, berpegang kuat dengan niat yang baik dan berpegang teguh dengan akhlak yang mulia maka sudah pasti umat ini memperolehi kejayaan demi kejayaan.

Akan tetapi ramai dari kalangan manusia yang ingin mencapai kejayaan tanpa melakukan usaha. Ini akan membinasakan diri mereka. Amalan seperti ini adalah bercanggah dengan sunnah
Allah. Kejayaan adalah suatu yang tercapai dengan pengorbanan. Ini merupakan sunnah kehidupan. Barangsiapa yang ingin berjaya dalam apa-apa kerja maka perlu berusaha bersungguh-sungguh. Sekarang ini ilmu yang ada adalah berbagai-bagai. Sebagaimana yang saya dengar bahawa di kolej ini ada keistimewaan kerana dalamnya terdapat berbagai-bagai bidang ilmu yang dipelajari. Ini merupakan suatu yang baik kerana apabila ada pelbagai ilmu di pelajari di suatu tempat, kemungkinan seorang yang faqih boleh berbincang dengan seorang doktor, doktor berbincang dengan faqih, orang yang mahir dalam bidang pertanian boleh berbincang dengan orang yang mahir dalam bidang perusahaan, orang lelaki boleh mengajar orang perempuan dan orang perempuan boleh mengajar orang lelaki.

Oleh itu, sekiranya kita melihat ke dalam al-Qur’an, kita akan dapati terdapat lebih 500 ayat yang memperkatakan tentang ilmu dan memperkatakan tentang ulama’ serta menjelaskan bahawa semua ilmu mendatangkan manfaat sama ada ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu tauhid, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian, ilmu perusahaan, ilmu farmasi, ilmu geologi dan sebagainya dengan syarat menuntut dan mengamalkan ilmu-ilmu tersebut diniatkan kerana mencari keredhaan Allah, memberi khidmat kepada kebenaran, membangunkan umat dan mempertingkatkan tahap kehidupan umat.

Kita sedang berada dalam zaman kesepaduan pelbagai jenis ilmu. Sebagai contoh, untuk saya menafsirkan al-Qur’an dengan penafsiran yang sahih maka saya perlu kepada ilmu nahu, ilmu saraf, ilmu balaghah dan sebagainya. Saya juga perlu mengetahui serba sedikit secara umum walaupun tidak secara mendalam tentang sebahagian dari ilmu pertanian, ilmu kedoktoran dan sebagainya. Ini perlu dilakukan kerana di sana ada ayat-ayat al-Qur’an di mana untuk menafsirkannya dengan tafsiran yang tepat perlu merujuk kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, pertanian dan pelbagai ilmu yang lain lagi. Sebagai contoh di awal surah al-Zumar memperkatakan tentang proses kejadian manusia iaitu:
'Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan ekor; (empat) pasangan (jantan dan betina). Ia menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita'.(Surah al-Zumar: 6)

Bagi membolehkan saya menafsirkan ayat ini dengan tafsiran yang sahih dan tepat, saya perlu pergi bertanya pada doktor. Memang benar bahawa ahli tafsir yang terdahulu telah memperkatakan tentang ayat ini, namun untuk menambah keyakinan, saya bertanya kepada orang yang pakar tentangnya sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
'Tanyalah kamu kepada orang yang mengetahui tentang sesuatu sekiranya kamu tidak mengetahui'.(Surah al-Anbiyaa’: 7)

Anda dapati al-Qur’an memperkatakan tentang ulama’ dan dalam membincangkan tentang maksud ulama’ ini boleh jadi (ilmu yang sebenar ada di sisi Allah) yang dimaksudkannya ialah ulama’ dalam pelbagai jenis ilmu. Ayat al-Qur’an yang terdapat dalam surah Fatir ada menyebut yang bermaksud:
'Tidakkah kamu melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlain-lain jenis dan rupanya, dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlain-lain warnanya (tua dan muda), dan ada juga yang hitam legam. Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlain-lain jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu'. (Surah Fatir: 27-28)

Sesetengah ahli tafsir mengatakan bahawa turunnya ayat ini adalah selepas ayat yang memperkatakan tentang bukit bukau, bumi dan sebagainya di mana ini mensahihkan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan ulama’ di sini ialah ahli ilmu tentang lapisan bumi (geologi).

No comments: